Myvi catat jualan tertinggi Perodua 2021 – Ini baru King!

1132

Jualan Perodua pada Disember meningkat sebanyak 13 peratus kepada 22,940 unit daripada 20,299 kenderaan pada November 2021 berikutan tindakan balas terhadap gangguan bekalan terputus-putus akibat Covid-19 mula menunjukkan hasil yang positif.

Namun bagi jualan tahunan, Perodua mencatatkan 190,291 kenderaan pada 2021, turun 13.6 peratus daripada 220,154 unit yang dijual pada 2020 berikutan kesan Covid-19, gangguan bekalan cip semikonduktor dan banjir baru-baru ini memberi kesan buruk kepada pengeluaran.



Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, 190,291 pendaftaran adalah di bawah sasaran iaitu 200,000 unit untuk 2021 kerana cabarannya adalah lebih besar daripada yang dijangkakan.

Katanya, walaupun begitu, Myvi terus menerajui keseluruhan pasaran Malaysia dari segi jualan mengikut model dengan 47,525 unit diikuti Axia dan Bezza menguasai pasaran segmen A negara.

“Namun, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan atas sokongan dan pemahaman mereka, terutama yang bersabar menunggu kenderaan.

”Insya-Allah, penghantaran akan bertambah baik dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.

Mengenai gambaran keseluruhan industri, Zainal berkata jumlah volum industri (TIV) bagi tahun itu juga akan menyaksikan impak jualan yang sama dengan anggaran penurunan sebanyak 23.6 peratus kepada 504,536 unit daripada 528,172 unit yang dijual pada tahun 2020.

“Walaupun prestasi yang lebih rendah daripada jangkaan untuk 2021, langkah balas kami untuk kesan Covid-19 terbukti berjaya setakat ini.

“Ini berikutan kami dan pembekal bekerjasama secara dinamik dan menyelaraskan usaha kami untuk memastikan gangguan dikurangkan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa ramalan sasaran jualan 240,000 untuk 2022 yang diumumkan pada Disember lalu disemak semula lewat bulan ini kerana mengambil kira perkembangan dan peristiwa terkini sebagai pertimbangan.

Sementara itu, Perodua menerima respon kira-kira 1,675 pemilik berhubung program Bantuan Banjir Perodua yang mana kenderaan mereka kini sedang diperiksa di pusat servis Perodua di seluruh negara.

Zainal Abidin berkata, program Bantuan Banjir Perodua, yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri pada 26 Disember 2021, menarik minat orang ramai untuk menyertainya.

“Keutamaan kami sekarang ialah bekerjasama dengan syarikat insurans serta rakan kongsi kami yang lain untuk mempercepatkan sebarang proses kelulusan yang diperlukan untuk membaiki dan memulihkan kenderaan yang rosak akibat banjir.

“Kami faham bahawa kebanyakan pelanggan kami bergantung kepada Perodua mereka untuk aktiviti harian mereka dan kami akan melakukan yang terbaik untuk membantu,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here