Kerana minat yang mendalam terhadap kereta klasik, dia sanggup berhabis ribuan ringgit untuk mengubahsuai sebuah kereta usang yang hampir reput menjadi trak pikap serba baharu.
Mohamad Dzul Ikhram berusia 32 tahun menyatakan lori kecil itu asalnya merupakan kenderaan syarikat untuk mengangkut sayur.
Dia membeli kereta tersebut dua tahun lalu pada harga sekitar RM15,000. Ikhram menggunakan trak tunda dari Klang, Selangor lalu di bawa ke Johor Bahru sebelum proses ubah suai bermula.
“Untuk dapatkan alat ganti ini sukar sebab pengeluaran kereta dah lama dihentikan jadi saya terpaksa dapatkan dari Thailand.
“Proses membina semula trak pikap ini mengambil masa setahun yang menelan kos keseluruhan dari RM7,000 sehingga RM8,000,” jelasnya kepada Motoqar.
Walaupun keadaannya hampir seperti besi buruk dan enjin yang sudah tidak berfungsi dan tersadai tetapi Ikhram berhasil membuatkan trak pikap itu tampil serba baharu. Bahkan model ini boleh dikatakan antara kenderaan yang banyak dicari oleh kaki modifikasi.
Model trak pikap Datsun 620 dua pintu keluaran 1979 ini mempunyai bentuk badan yang unik dan Ikhram memilih warna badan asal iaitu kuning untuk mengekalkan sentuhan klasik. Bahagian janakuasa trak pikap itu menggunakan enjin petrol 1.5 Liter J15.
Jika ada berminat untuk mengetahui maklumat terperinci mengenai perjalanan naik taraf kereta tersebut boleh ikuti Facebook Ikhram, Panjang Gros.
GALERI
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar