Sejak pengenalan globalnya, Isuzu D-Max serba baharu generasi ketiga telah meraih perhatian ramai pengguna dan pengkritik sekaligus, serta menemukan peminat baru yang menghargai tahap kecanggihan, keselesaan dan kemampuannya yang mengagumkan.
Di Malaysia, pelancaran D-Max serba baharu ini pada April tahun lalu menarik banyak minat, terutama terhadap varian flagship terbaru, X-Terrain—yang telah membantu memperluaskan lagi capaian pengeluarnya kepada kelompok pengguna dan pemilik baharu trak pikap.
Melalui rekaan kukuh dan menonjol yang ada pada model baharu ini, serta ciri keselamatan dan keselesaannya yang cemerlang dan kehalusan premium ala SUV, Isuzu D-Max X-Terrain telah menjangkau tahap baharu untuk menjadi trak pikap yang paling didambakan dalam pasaran ketika ini.
Walaupun bekalan D-Max terkesan teruk akibat gangguan bekalan semi-konduktor, 713 pemilik telah menerima X-Terrain baharu mereka, menjadikannya model kedua paling popular dari barisan trak pikap Isuzu Malaysia selepas varian 1.9 liter 4×4 Premium yang mencatatkan jualan 842 unit.
Pusat bandar di Lembah Klang dan Kota Kinabalu menjadi lokasi utama menyaksikan jualan tertinggi model flagship berkenaan, menyumbang lebih daripada separuh daripada angka jualan keseluruhan di negara ini.
Varian baharu X-Terrain berkenaan telah berulang kali disifatkan sebagai trak revolusionari yang memberikan definisi baharu kepada landskap industri trak pikap, menggabungkan tahap keselesaan luar biasa, dengan kehalusan dan keselamatan dalam satu pakej yang tidak mengorbankan perwatakan trak Isuzu yang sudah sedia terkenal dengan kepelbagaian penggunaan serta boleh diharap.
Disebabkan itu jugalah tidak menghairankan Isuzu D-Max X-Terrain ini menerima pujian daripada media automotif yang rata-ratanya terpesona dengan penawaran dan penampilan model berkenaan sebagai sebuah kenderaan moden, berkeupayaan dan sangat menyenangkan untuk dipandu.
Dalam tempoh singkat sejak pelancarannya, Isuzu D-Max X-Terrain telah meraih tidak kurang daripada lima anugerah Trak Pikap Terbaik Tahunan. Pihak media seperti Carplus, Carlist, DSF.my, Rider ATH dan Wapcar memilih Isuzu D-Max sebagai pemenang yang layak kerana kemampuannya mengagumkan untuk membawa pengalaman trak pikap ke tahap baharu.
“Terdapat begitu banyak faktor mengagumkan pada Isuzu D-Max yang menjadikannya sangat layak untuk meraih semua anugerah tersebut. Ketika pandu uji, kami selalu tertanya-tanya bagaimana tahap kelasakan dan kemampuan kenderaan seperti D-Max ini mampu untuk diubah daripada tahap sedia ada kepada tahap yang sama sekali jauh berbeza,” jelas seorang editor kanan.
Dengan momentum permintaan yang semakin kuat dijangka berterusan sepanjang 2022, keutamaan Isuzu Malaysia adalah untuk memenuhi bekalan yang masih tertangguh untuk tidak mengecewakan pelanggan. “Ramai pelanggan yang telah menunggu dengan sabar untuk penghantaran trak mereka. Kami berharap agar gangguan bekalan ini diatasi segera untuk membolehkan kami memenuhi semua permintaan trak baharu ini,” ujar Sogo.
“Sebaik sahaja bekalan pulih, kami menjangkakan akan dapat menggandakan penghantaran dan mencapai sasaran untuk menjual 8,000 unit tahun ini,” tambah beliau.
Barisan Isuzu D-Max serba baharu terdiri daripada pelbagai varian untuk memenuhi bermacam keperluan individu dan kepenggunaan, bermula dengan varian Single Cab yang menawarkan keupayaan tenaga kerja cemerlang hinggalah kepada pilihan lebih luas dengan Double Cab yang dilengkapi oleh enjin 1.9 liter atau unit 3.0 liter yang lebih berkuasa.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar