UMW Toyota Motor melancarkan Toyota Camry generasi kelapan baharu yang dipertingkatan untuk membuatkan ia lebih segar dengan penambahbaikan dari segi prestasi, tahap keselamatan, rekaan dalaman serta luarannya.
Enjin baru
Dibina berlandaskan platform “Toyota New Global Architecture” (TNGA), Toyota Camry itu kini dilengkapi enjin baharu Dynamic Force 2.5 liter dengan menyalurkan 209PS dengan tork setinggi 253Nm. Jadi berbanding enjin 2.5 liter sebelum ini, enjin baharu itu menghasilkan kuasa 25 PS/18 Nm lebih besar.
Pada masa sama, ia dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan Direct Shift 8-AT bagi menggantikan kotak gear auto enam-kelajuan sebelum ini.
Ia turut dipadankan penukar gear pedal dan tiga mod pemanduan – ECO, Normal dan Sport, untuk pergerakan lancar dan pemanduan yang sangat responsif.
Ciri keselamatan dinaik taraf
Ciri keselamatan terkini Camry Baharu dinaik taraf termasuk Toyota Safety Sense (TSS) dengan Pre-Collision System (PCS) dan Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) lebih peka yang juga boleh mengesan pejalan kaki dan penunggang basikal pada semua kelajuan.
Sistem Pengekalan Lorong dan Bantuan Penjejak Lorong (LTA), dan juga Pemantauan Titik Buta (BSM) dengan Brek Belakang Automatik Untuk Lalu Lintas Silang (RCTAB).
Dengan cir-ciri serba baharu seperti Sonar Penjarakan Pintar Baharu dan Skrin Pemandangan Panorama.
Peningkatan ruang dalaman
Dalam kabin, gayanya lebih nampak sporty dengan kemasan kayu coklat sebelum ini dihiasi dengan warna hitam untuk menyerlahkan aura keanggunan dan kemewahannya.
Bagi memastikan pemandu boleh melihat dengan jelas, skrin audio tengah lebih besar bersaiz 9 inci (sebelum ini 8 inci) yang sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.
Ia ditempatkan pada paras lebih tinggi, iaitu di atas saluran pendingin udara dengan bunyi lebih bagus daripada lapan pembesar suara JBL.
Di samping itu, penumpang belakang boleh menyendengkan kerusi mereka, melaraskan sistem pendingin udara tiga zon dan tabir suria dengan mudah, dan juga mengawal sistem audio dengan sentuhan satu butang di panel kawalan, yang dilengkapi alas lengan di tengah- tengah. Ciri ini diperkenalkan buat julung kalinya dalam segmen Camry.
Perubahan luaran yang minimum
Perbezaan luaran adalah terlalu minimum dan masih seperti reka bentuk sebelum ini. Jika tidak biasa dengan model ini, mungkin agak sukar untuk melihat perbezaannya.
Namun, perubahan kecil dilakukan pada bampar hadapan dengan kemasan warna perak, rim rekaan baharu serta lampu belakang dengan kemasan hitam di bahagian dalamnnya.
Ulasan pandu uji ringkas Toyota Camry 2022 KL-Kuantan-KL
Kuasa daripada enjin baharu ini ternyata memberi satu pengalaman yang menarik buat segmen D. Rasa prestasi yang disalurkan sangat baik sebaik menekan padel minyaknya.
Jika dibandingkan dengan enjin terdahulu, kini ia tiada rasa berat dan sangat responsif sebaik menekan pedal minyaknya.
Penggunaan transmisi baharu juga membuatkan rpm lebih rendah, dan rasa lebih selesa sepanjang memandu di lebuh raya.
Bagi kelajuan 100km/j, tahap putaran enjin kira-kira 1,500rpm dan secara tidak langsung ia memberi penjimatan dari segi bahan api.
Untuk perbezaan baharu yang ada pada Camry 2022 ini, ada boleh tonton video di bawah:
Pilihan warna dan harga
Camry Baharu menawarkan pilihan lima warna membabitkan Graphite Metallic, Silver Metallic, Red Mica, dan juga dua warna unik tersendirinya, iaitu Platinum White Pearl dan Burning Black, dengan kos tambahan RM800.
Buat masa ini, hanya satu varian sahaja ditawarkan iaitu Camry 2.5V yang dijual bermula daripada RM199,109.50 (tanpa cukai jualan dan insuran).
Ia juga dilindungi waranti lima tahun komprehensif dengan jarak perjalanan tidak terhad.