Perodua Aruz 1.5 Advance –Ikon SUV rakyat Malaysia?

7907

Perodua Aruz 1.5 Advance- Jika anda rajin membaca forum permotoran di media sosial, anda akan perasan satu benda. Rakyat Malaysia mahukan kenderaan yang luas, jimat bahan api, praktikal, laju, tetapi harga mampu milik.

Keperluan atau syarat ini bukan sahaja mampu memeningkan kepala pengeluar kereta biasa, malah berpengalaman. Mungkin tidak ada kereta yang mampu memenuhi semua kriteria di atas sebaiknya.



Namun ada juga beberapa kenderaan yang mampu mencapai keperluan ini dengan agak baik. Salah satunya ialah Perodua Aruz.

Dengan Aruz ini, Perodua kembali semula ke segmen SUV. Trend ini menular dalam kalangan pembeli seluruh dunia, Lamborghini pun dah ada SUV. Jadi, Perodua cuba memberi satu lagi pilihan kepada rakyat Malaysia.

Luaran

Nanti dulu, adakah Aruz ini memang sebuah SUV? Jujurnya pada pendapat peribadi penulis, Aruz ini bukanlah sebuah SUV sebenar.

Aspek teknikal juga menyokong pendapat ini. Ia mempunyai bentuk keseluruhan seperti MPV. Ibarat Avanza yang lebih panjang, atau Innova yang lebih ranggi. MPV rugged. Inilah istilah paling sesuai bagi penulis.

Tinggalkan komen jika anda ingin berbahas atau mempunyai pendapat lain mengenai ini.

Tetapi secara keseluruhan, penulis agak suka rekabentuk Perodua Aruz ini. Ia kelihatan cukup moden, bergaya, dan agak dinamik. Terdapat garisan karakter di beberapa bahagian badan yang menaikkan penampilan Aruz.

Kelengkapannya juga cukup moden dengan lampu LED untuk depan dan belakang, spoiler dan rim aloi dwi-tona 17-inci.

Dalaman

Ruang kabin Perodua Aruz direka cukup kemas, praktikal, dan selesa. Papan pemuka Aruz mendapat sentuhan Perodua sendiri yang sedikit berbeza dari Toyota Rush (adik-beradik Aruz). Bahan yang digunakan nampak berkualiti dan akan bertahan lama.

Dari segi ergonomik pemandu, penulis kurang suka dengan pelarasan stereng yang menyukarkan sesetengah pemandu untuk mencapai posisi pemanduan ideal. Ini kerana hanya sudut yang boleh dilaras, tetapi tidak teleskopik.

Namun penulis sukakan ciri penggera tali pinggang keselamatan individual. Kesemua tujuh tempat duduk mempunyai penggera ini yang terletak di konsol tengah.

Tempat duduk barisan kedua mempunyai keluasan dan kelegaan kaki serta kepala yang agak baik. Penulis rasakan ia dapat memuatkan tiga dewasa tanpa masalah besar. Terdapat juga corong penghawa dingin di siling untuk penumpang barisan kedua dan ketiga. Ini boleh menjadi faktor penentu dalam pembelian sesebuah kenderaan keluarga.

Tempat duduk barisan kedua ini juga boleh dilaras ke depan dan belakang. Jadi, anda boleh laraskan mengikut keperluan dan keadaan. Cuma kelegaan tanah (ground clearance) Aruz ini yang agak tinggi membuatkan lantai untuk memasuki ruang kabin juga tinggi. Mungkin kanak-kanak kecil perlu memanjat sedikit atau didukung untuk masuk ke dalam.

Tempat duduk barisan ketiga boleh memuatkan penumpang dewasa berketinggian 165-170 cm, tetapi bukanlah begitu ideal. Namun penumpang mudah untuk keluar dan masuk ke kawasan ini kerana pintu dan tempat duduk barisan kedua mempunyai bukaan yang baik.

Penulis sangat sukakan ruang kargo Aruz yang dikira agak besar walaupun tempat duduk barisan ketiga dinaikkan. Biasanya kenderaan dengan tujuh tempat duduk mempunyai ruang kargo yang cukup-cukup makan sahaja.

Tempat duduk barisan ketiga juga mudah untuk dilipat, cuma ia tidak dapat dilipat supaya lantainya menjadi rata.

Enjin dan prestasi

Aruz ini cukup lancar ketika dipandu. Walaupun menggunakan enjin 1.5-liter, kereta tidak terasa kurang kuasa. Ya, rimnya juga bersaiz 17-inci. Tetapi Aruz mempunyai tahap pecutan yang agak baik.

Penulis rasakan nisbah gearnya ditala agar dapat berikan pecutan memadai untuk saiz rim dan kapasiti enjinnya. Cuma nisbahnya hanya 4-kelajuan, jadi ia tidak begitu sesuai dipandu agak laju.

Dalam gear 4 pada 110 km/j, meter putaran enjin sudah menunjukkan 3.2k rpm. Jadi untuk meluncur lama di lebuhraya, kurang ideal dipandu terlalu laju. Ini kerana ia akan memberi kesan negatif pada penggunaan bahan api.

Untuk pemanduan di bandar, ia tidak terasa terlalu besar. Malah pusingan U pun dapat dibuat dengan bersahaja. Cuma apabila melalui jalan tidak rata, penumpang baris ketiga boleh terasa sedikit melantun.

 

Ini kerana Aruz gunakan pelantar ladder-frame yang dipasang dengan live axle­. Kombinasi ini bukanlah paling selesa. Penggunaan spring gegelung membantu meningkatkan sedikit tahap keselesaan bahagian belakang.

Dari sudut positif, ini juga bermakna Aruz mampu menjadi sebuah SUV (atau MPV) yang lasak dan tahan lama.

Kata akhir

Perodua Aruz boleh dikatakan suatu alternatif yang cukup baik dalam segmennya jika dibandingkan dengan Toyota Sienta, Honda BR-V atau Proton Ertiga.

Perodua Aruz juga sebuah pilihan yang unik kerana faktor binaan pelantarnya dan pacuan roda belakang.

Jika anda dalam kumpulan yang mencari kenderaan tujuh tempat duduk yang praktikal dan dengan harga berdaya saing, maka Perodua Aruz 1.5 Advance ialah model yang anda harus masukkan dalam senarai pendek.

 

Spesifikasi Perodua Aruz 1.5 Advance

Harga: RM77,900

Enjin: 1,496 cc, 4-silinder DOHC dengan Dual VVT-i

Kuasa maksima: 101 hp @ 6,000 rpm

Tork maksima: 133 @ 4,200 rpm

Transmisi: Automatik 4-kelajuan

Berat: 1,310 kg

Sistem keselamatan: 6 beg udara, ABS dengan EBD dan Brake Assist, Vehicle Stability Control, Traction Control, Emergency Stop Signal (ESS), Hill-start Assist (HSA), ISOFIX, DVR, Advanced Safety Assist (ASA) 2.0

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here