Proton Wira Turbo yang pernah tular di saluran Youtube selepas diubahsuai sehingga mengeluarkan bunyi bising ditahan polis dalam operasi Op Tutup yang dijalankan sekitar pusat bandar Kuala Lumpur.
Operasi dijalankan bermula 10 malam hingga 4 pagi (1-3 April) itu diadakan di Jalan Pahang, Jalan Tun Razak, Jalan Kuching, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, operasi menyasarkan kenderaan yang parkir di kiri dan kanan Jalan Raja Laut, membuat bising dan mengganggu ketenteraman awam.
Sebanyak 25 kereta disita yang mana salah satunya Proton Wira yang sebelum ini tular di YouTube.
Semua kenderaan yang disita akan disiasat di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mengubahsuai struktur kenderaan.
“Kenderaan yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta diarahkan mengubah ke struktur asal.
“Secara keseluruhan, sebanyak 661 jumlah saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 53 motosikal disita atas kesalahan mengubahsuai struktur kenderaan (ekzos),” katanya.
VIDEO
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar