Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani bimbang terhadap lambakan motosikal kapcai lincah berprestasi tinggi sejak kebelakangan ini.
Kehadiran kapcai laju itu adalah antara punca utama peningkatan kadar kemalangan jalan raya dan kematian dalam kalangan penunggang motosikal dan rempit.
Beliau juga menyarankan model kapcai lincah yang berkemampuan tinggi yang ditunggang melebihi had laju dibenarkan dilarang berada di jalan raya serta diharamkan penjualannya di pasaran.
Ia susulan tersebarnya video ujian dyno model keluaran baharu, Suzuki Raider R150 Fi yang mencecah kelajuan 177kmj.
“Kenderaan (kapcai) seperti ini wajib diharamkan di Malaysia, tidak ada relevensi kelajuan 177kmj di jalan raya sedangkan had laju maksimum adalah 110kmj (di lebuh raya),” katanya.
Menerusi ujian dyno, kapcai Raider mampu merekodkan kelajuan maksimum antara 150kmj hingga 160kmj.
Acryl Sani turut menggesa Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) memainkan peranan utama mengkaji arah tuju permotoran serta merangka polisi motosikal selamat pada masa depan.
Statistik nahas setakat Ogos 2021 menunjukkan setiap 10 orang yang maut di jalan raya, tujuh merupakan pengguna motosikal dengan majoriti kematian daripada pengguna kapcai.
Sejak 2019, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) melancarkan ‘perang’ ke atas kapcai popular Yamaha 15ZR atau lebih dikenali sebagai Y-Suku yang dikatakan mampu mencecah kelajuan 160kmj setelah diubahsuai dan kerap digunakan sebagai kenderaan lumba haram.
Pada mesyuarat agung tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya tiga tahun lalu, seorang pegawai kanan JSPT mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan agar kategori pelesenan motosikal B3 baharu diwujudkan untuk golongan belia dengan hanya dibenarkan menunggang motosikal elektrik berkuasa rendah atau motosikal pembakaran dalaman 100cc ke bawah menjelang 2025.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar