Pemandu kenderaan MPV Toyota Alphard yang melakukan perbuatan buli di lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Genting Sempah direman polis bagi membantu siasatan kes.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada 10 pagi tadi untuk memohon perintah tahanan reman.
“Majistret menerima permohonan perintah reman dan membenarkan suspek direman selama tiga hari sehingga 4 Mei ini untuk membantu melengkapkan siasatan.
“Suspek akan disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sebelum ini, tular video berdurasi 2 minit 25 saat di Facebook yang menunjukkan sebuah MPV Toyota Alphard berwarna putih dipandu secara berbahaya di Kilometer (KM) 25.1 KM 27.5 Lebuhraya Karak arah Genting Sempah.
Perbuatan MPV tersebut yang cuba memotong barisan menggunakan lorong kecemasan dirakam menggunakan kameran papan pemuka.
Bahkan, pemandu berkenaan juga menghalang laluan pengadu dengan melakukan brek secara mengejut dan menyerongkan kenderaannya dengan niat provokasi terhadap pengguna lain.
susulan kejadian itu polis JSPT mengeluarkan arahan supaya suspek tampil menyerah diri secara sukarela bagi memudahkan siasatan polis.
Kemudian Polis Daerah Gombak melancarkan operasi memburu suspek sebelum lelaki tempatan lingkungan usia 43 tahun itu berjaya ditangkap di perkarangan Bahagian Siasatan dan Perundangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak semalam.
VIDEO
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar