Utama Berita Automotif Tular video polis kejar Perodua Kancil di Seri Manjung, didakwa larikan isteri...

Tular video polis kejar Perodua Kancil di Seri Manjung, didakwa larikan isteri orang

2367
Polis menahan seorang lelaki didakwa bertindak melarikan isteri orang menaiki sebuah kereta dalam satu aksi kejar di bandar Seri Manjung, Perak, semalam.
 
Dalam kejadian sekitar jam 7.30 pagi itu, suspek berjaya diberkas selepas cuba melarikan diri dengan memberhentikan kenderaan di depan sebuah restoran.
 
 
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, berlaku pergelutan antara anggota polis dan suspek, 31 sebelum lelaki itu berjaya ditahan.
 
Siasatan awal mendapati, suspek meminta bantuan daripada seorang wanita berusia 34 tahun yang dikenali melalui aplikasi WeChat untuk mengambilnya di sebuah bangunan penginapan dalam daerah Manjung.
 
Wanita yang bekerja sebagai juruwang itu kemudiannya meminta suami untuk mengekorinya secara berasingan kerana bimbang akan keselamatan diri.
 
 
“Semasa tiba di lokasi, suspek menyedari kehadiran suami wanita itu dan meminta untuk memandu kereta terbabit dengan alasan ada orang sedang mengejarnya.
 
“Lelaki itu beranggapan suami wanita terbabit adalah pemungut hutang kerana suspek sebelum ini telah beberapa kali melarikan diri atas masalah hutang yang masih belum dijelaskan,” katanya.
 
Tambahnya, suspek didapati memandu secara berbahaya menghala ke Seri Manjung dan enggan menghentikan kenderaan apabila diarahkan polis peronda.
 
Bahkan, dia juga bertindak memandu melawan isyarat lalu lintas dan melanggar sebuah kenderaan peronda polis yang menghalangi jalan bagi memberhentikan kenderaan itu.
 
“Tiba di depan sebuah restoran, suspek cuba mengambil sebuah motosikal yang berada di sana, namun tidak berjaya menyebabkan suspek bertindak masuk semula ke dalam kereta.
 
“Polis yang tiba cuba menahan suspek, namun berlaku pergelutan sebelum ditahan,” katanya.
 
Hasil semakan, suspek tidak bekerja dan mempunyai dua rekod jenayah lampau dalam kesalahan penyalahgunaan dadah.
 
Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing juga didapati suspek, positif dadah jenis methaphetamine.
 
Suspek akan direman bagi siasatan kes di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan atas kesalahan melarikan wanita yang bersuami dengan niat jenayah dan Seksyen 188 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 kanun sama kerana menghalang tugas penjawat awam.
 

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 


APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here