BMW Malaysia melancarkan varian berprestasi jenama berkenaan dengan pengenalan lima model menerusi M3 Competition, M4 Competition, M5 dan M5 Competition, selain satu kenderaan elektrik, i4 M50.
BMW M3 Competition dan M4 Competition dengan M xDrive.
BMW M3 Competition dan BMW M4 Competition kini dilengkapi dengan M xDrive menandakan kali yang pertama sistem pacuan semua roda ‘M-specific’ diperkenalkan kepada kenderaan berprestasi tinggi selain M5 dan M8.
Sistem pacuan semua roda M xDrive didatangkan dengan bias roda belakang, di mana kuasa hanya disalurkan ke belakang ketika pemanduan normal, apabila mencapai had cengkamannya, sistem itu akan menyalurkan kuasa ke roda hadapan.
Sistem pacuan semua roda itu disinambungkan dengan Active M Differential di gandar belakang yang membahagikan kuasa enjin di antara kedua-dua tayar belakang bagi menjamin daya cengkaman, kelincahan, dan stabiliti lebih cemerlang di atas jalan raya.
M xDrive juga membolehkan pemandu menyesuaikan karakteristik dan prestasi sistem pacuan semua roda berdasarkan situasi pemanduan serta pilihan tiga mod pemanduan: 4WD, 4WD Sport dan 2WD.
Sistem ini menyalurkan kuasa enjin kepada keempat-empat roda, membekalkan kualiti prestasi M kepada pemandu, di samping jangka pecutan yang lebih cepat dan cengkaman yang ditambah baik di atas permukaan basah bagi pemanduan harian.
Kedua-dua varian itu menggunakan enjin petrol enam silinder BMW M TwinPower Turbo, digandingkan dengan transmisi M Steptronic lapan kelajuan.
Menyalurkan output mencecah 510hp dengan tork setinggi 650Nm, membolehkan ia membuat pecutan 0-100km/j dalam masa 3.5 saat.
Harga
- BMW M3 Competition – RM827,800
- BMW M4 Competition – RM848,800
BMW M5 dan BMW M5 Competition
Sempena dengan ulang tahun BMW M ke-50, BMW M5 dan BMW M5 Competition baharu didatangkan dengan logo 50 Tahun BMW M sebagai standard.
Kedua-dua varian menampilkan pelbagai kelengkapan luaran ‘M-specific’ termasuk spoiler belakang M serta elemen tiga dimensi yang baharu pada lampu belakang LED.
Eksklusif untuk BMW M5 Competition ialah sistem ekzos M Sports, dengan gubahan serba langsing untuk membuahkan iras yang jitu dan tampak membesar di samping jata ‘M5 competition’ yang eksklusif.
BMW M5 dan BMW M5 Competition baharu pada ruang kabin dilengkapi Paparan Kawalan 12.3 inci. Ia memudahkan pengguna membaca pelbagai fungsi yang disediakan oleh sistem dinamik pemanduan dan BMW M xDrive.
Ia dibekalkan V8 4.4 liter teknologi BMW M TwinPower Turbo, menjana 600hp dengan tork sehingga 750 Nm bagi BMW M5. BMW M5 Competition pula menyalur 625hp serta 750Nm.
Kedua-dua varian digandingkan secara standard dengan transmisi M Steptronic lapan kelajuan. Turut dilengkapi Drivelogic, Suspensi Adaptif, serta pacuan semua roda M xDrive yang merangkumi tetapan 2WD untuk pacuan tayar belakang.
Ia membolehkan BMW M5 memecut 0-100km/j dalam masa 3.4 saat, manakala 3.3 saat untuk BMW M5 Competition. Untuk pecutan pula, BMW M5 boleh mencapai 250km/j dan 305km/j untuk BMW M5 Competition.
Harga
- BMW M5 – RM998,800
- BMW M5 Competition – RM1,188.800
BMW i4 M50
BMW i4 M50 adalah kenderaan elektrik berjata M yang pertama di dunia. Sempena ulang tahun BMW M ke-50, BMW i4 M50 akan didatangkan dengan Emblem 50 Tahun BMW M sebagai standard.
Dua motor BMW M eDrive dimuatkan di dalam BMW i4 M50 yang masing-masing ditujukan untuk gandar hadapan dan belakang.
Ia menyalurkan output luar biasa berjumlah 544hp dan tork mencecah 795Nm dalam mod Sport Boost. Pecutan 0-100km/j hanya masa 3.9 saat sahaja, manakala kelajuan tertingginya pula mencecah 225 km/j.
Dengan penggunaan tenaga sebanyak 24 – 19 kWj/100 km, kenderaan ini merekodkan jarak operasi elektrik sejauh 510 kilometer (berdasarkan kitaran WLTP).
Serasi dengan mod pengecasan AC dan DC, BMW i4 M50 boleh dicas penuh hanya dalam tempoh 8 jam 15 minit dengan pengecas AC 11 kW. Bagi mengecas dari 10 hingga 80 peratus dalam tempoh 31 minit dengan pengecas DC 200 kW.
Harga
- BMW i4 M50 – RM 430,800