Pandu uji: Volvo XC60 T5 Momentum – Kecanggihan yang minimalis

3259

Sudah menjadi kebiasaan untuk kereta-kereta hypercar seperti Ferrari LaFerrari, McLaren P1 Porsche 918 dan Volvo untuk menerima sistem hibrid dalam janaan kuasa mereka. Kehadiran motor elektrik dalam kereta-kereta sebegini mungkin mempunyai fungsi berbeza mengikut pengeluar. Ada yang menggunakan motor elektrik untuk menjana semula tenaga dari haba yang dihasilkan semasa membrek, dan ada yang memanfaatkan motor elektrik sebagai boost tambahan untuk tempoh tertentu. Nanti dulu, anda memang sedang membaca artikel pandu uji yang betul. Ini memang berkenaan Volvo XC60 T5.

 



Dengan kemajuan sistem hibrid dan kecekapan mereka bekerja, kita terlepas pandang bagaimana jika ketiga-tiga hypercar yang disebut bukan hibrid? Masihkan ia seronok dipandu jika hanya berkuasa enjin internal combustion (pembakaran dalaman)?

Penulis pernah memandu uji XC60 T8 versi hibrid, jadi bagaimana rasanya XC60 T5 versi petrol biasa ini? Adakah rasa kekurangan?

Luaran

 

Secara kasar, rekaan luaran XC60 ini cukup elegan. Ia menggunakan garis-garis yang lurus dan kemas, cukup untuk memberikan karakter apabila perlu. Namun, tidak terlalu berserabut.

Dengan warna Onyx Black ini, kemasan krom di beberapa bahagian badan seperti gril menaikkan seri dan memberi kesan kontra yang baik.

Cuma rim 18-inci berwarna silver ini nampak agak kecil dari sebenar. Jika boleh pilih rim 19-inci pada varian T8, dapatkan yang itu. Rim itu sangat padan dengan XC60.

Pada lampu depan, terdapat trademark terkini Volvo iaitu elemen “Thor’s hammer” atau tukul Thor.

Dalaman

Untuk bahagian dalaman, roda stereng dan papan pemuka nampak agak “biasa”, warna ini Volvo namakan sebagai Iron Ore Décor Inlay. Konsep minimalis ini juga sangat berkait rapat dengan konsep Scandinavia.

Tetapi permukaan kelabu itu tetap terasa berkualiti dan ada perincian. Terdapat permukaan seperti bergetah yang kenyal dan ada kemasan krom halus yang sedap dipandang.

Kedudukan pemandu terasa agak tinggi, namun ini membolehkan pemandu mudah untuk melihat ke luar. Kereta juga tidak terasa terlalu besar dengan kedudukan ini.

Untuk yang belum mengetahui, corak bendera Sweden di kemasan krom berdekatan corong pendingin hawa kiri depan itu juga berfungsi ya. Ia adalah untuk membolehkan krom itu mengembang dan mengecut dengan baik mengikut suhu persekitaran.

Ini menunjukkan tahap pemikiran jurutera dan pereka Volvo yang mendalam dan sangat memahami apa yang mereka lakukan.

Tempat duduk Volvo XC60 T5 ini dibaluti kulit berwarna coklat yang cantik dan menaikkan lagi suasana dalam kabin. Tempat duduk depan dan belakang juga sangat selesa walaupun tidak mempunyai bolster sokongan yang begitu banyak.

Ciri lain di dalam kabin XC60 ini adalah pakej pencahayaan dalaman, keyless entry and drive, Electronic Climate Control (ECC) 2-zon dengan sistem kualiti udara Clean Zone, Indirect Tyre Pressure Monitoring System (iTPMS) dan pintu but berkuasa.

Untuk multimedia, terdapat skrin sesentuh 9-inci dengan perisian Sensus Connect dan sistem audio 330W dengan 10 pembesar suara.

Unit Sensus Connect mudah digunakan dengan susunan menu seperti dalam telefon pintar. Sistem audio pula menjanjikan kualiti audio yang merdu untuk perjalanan anda. Sistem ini juga lengkap dengan sambungan USB, Bluetooth, Apple CarPlay dan Android Auto.

Enjin dan prestasi

Di bawah hud depan XC60 ini ialah enjin 2.0-liter turbo. Tiada supercharger dan sistem hibrid seperti pada T8, varian T5 ini lebih ringkas.

Namun, XC60 T5 cukup berkuasa dengan 254 hp dan 350 Nm tork mampu dihasilkan. Enjin ini sangat senyap dan lancar. Transmisi XC60 T5 dikongsi dari varian T8, iaitu automatik lapan kelajuan.

XC60 mudah dipandu. Ia lancar ketika mula bergerak. Cara penyampaian torknya agak linear dan tidak terlalu mengejut. Pemandu dapat manfaatkan tork yang tinggi pada julat rpm yang agak besar.

Dengan saiznya itu, SUV ini juga tidak terasa berat kerana enjinnya ditala untuk memberikan pecutan bersahaja. Ini juga mungkin disebabkan varian T5 ini kira-kira 200kg lebih ringan dari XC60 T8.

Menariknya juga, penulis rasakan begitu seronok pula memandu XC60 ini dengan perlahan. Kebiasaannya, penulis akan memandu sedikit laju dari aliran trafik.

Namun dengan XC60, bagaikan satu terapi pula meluncur perlahan di kawasan sibuk. Mungkin kerana transmisi XC60 ini yang sangat lancar dan kabinnya yang senyap.

Suspensi juga memainkan peranan dalam situasi ini, kerana jalan Malaysia yang “sangat sempurna” semuanya diserap baik oleh XC60.

Oh ini juga tidak bermaksud XC60 T5 tidak seronok dipandu laju. Ia sedia mengerah kuasanya mencapai angka tiga digit dalam sekelip mata. Dan semua ini dilakukan dengan bersahaja dan penuh elegan. Tiada pecutan mendadak atau bunyi mengaum berlebihan.

Untuk menyesuaikan pemanduan dengan mood pemandu, terdapat beberapa mod untuk dipilih. Antaranya Comfort, Dynamic dan Off Road. Kereta akan berada dalam Comfort setiap kali enjin dihidupkan.

Dynamic akan memberikan prestasi optima dengan gaya pemanduan lebih bersemangat. Off Road pula akan melaras enjin, transmisi dan traction control untuk memberikan cengkaman terbaik di kawasan tidak berturap. Namun, tiada ciri yang melaras ketinggian XC60 ini seperti pada varian T8 yang dilengkapi sistem suspensi udara.

Oh ya, mod-mod ini boleh dipilih dari tombol suis yang sangat cantik seperti kristal.

Intellisafe dan ciri keselamatan lain

Sebagai sebuah Volvo, sudah tentu tidak dapat lari dari aspek keselamatan. XC60 T5 ini memang penuh dengan ciri keselamatan canggih dan terkini. Terlalu panjang kalau hendak disenaraikan.

Paling menarik bagi penulis ialah “kematangan” sistem bantuan pemanduan oleh Volvo. Adaptive Cruise Control contohnya, sesetengah kereta terasa agak janggal dan seperti robot yang memandu.

Tetapi dengan Volvo, Adaptive Cruise Control yang boleh bekerja bersama Pilot Assists Semi-Autonomous Drive dan Lane Keeping Aid berfungsi seolah-olah pemandu manusia yang mengemudi kereta.

Ciri keselamatan lain pada XC60 T5 ini termasuklah pakej Intellisafe yang merangkumi City Safety with Collision Avoidance and Mitigation, dan Blind Spot Information System with Steering Assist.  

Dengan pemanduan selesa dan keupayaan pecutannya, Volvo XC60 T5 masih mampu memberikan penggunaan bahan api pada kadar 12.8 km/liter. Dan penulis tidak terlalu mencuba. Jika benar-benar mencuba, pasti boleh dapatkan angka lebih tinggi. Senang cerita, 600 km boleh dicapai dengan mudah dari satu isian tangki penuh.

Volvo XC60 T5 sangat ideal jika anda mahukan sebuah SUV premium yang sedikit lain dari jenama-jenama Jerman yang biasa dilihat.

 

Spesifikasi Volvo XC60 T5

Harga: RM298,888
Enjin: 1,969 ccm DOHC 16-injap, turbo
Kuasa maksima: 254 hp @ 5,500 rpm
Tork maksima: 350 Nm @ 1,500 rpm
Transmisi: Automatik 8-kelajuan
Berat: 1,842 kg

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here