Honda HR-V 2022 – Jangan tengok lama-lama, takut jatuh cinta!

3424

Bermula hari ini, Honda Malaysia membuka pra-tempahan untuk Honda HR-V generasi baharu untuk pasaran tempatan.

Ia ditawarkan dengan pilihan enjin petrol dan hibrid, cuma yang kami tidak pasti rangkaian kuasa petrol sama ada 1.5 liter V-TEC NA atau 1.5 liter V-TEC turbo yang akan dibawa masuk nanti.

Yang pastinya Honda HR-V RS e:HEV iaitu versi hibrid bakal menjengah pasaran tempatan yang dijangka dilancarkan pada suku ketiga tahun ini. Apa yang kami jangka, ia mungkin pada Julai ini.



Sebelum model itu dilancarkan di Malaysia, penulis dan rakan media tempatan dijemput oleh Honda Malaysia untuk menguji Honda HR-V RS e:HEV di Thailand.

Jika lihat di internet, secara keseluruhan HR-V generasi baharu ini adalah sebuah SUV kompak yang sangat cantik. Jadi, tidak hairan ada beberapa rakan penulis yang sanggup menangguh untuk membeli SUV kompak jenama lain, semata-mata untuk menunggu HR-V bagi pasaran Malaysia.

Apa yang dilakukan oleh Honda, sememang tepat kerana pemilihan sesebuah kenderaan adalah terletak keanggunan dari segi penampilannya. Betul juga dengan peribahasa “dari mata jatuh ke hati”. 

Anda juga boleh tengok video di bawah: 

 

Ini ulasannya kami untuk  Honda HR-V RS e:HEV

Reka bentuk luaran

Kecantikan Honda HR-V RS ini terletak pada bahagian hadapan dan belakang. Pada hadapan, ia menggunakan jeriji 3D seperti rekaan jaring dan mempunyai kemasan krom.

Pada bahagian bampar bawahnya pula, lubang angin yang agak luas dengan jeriji berbentuk sarang lebah untuk varian RS, selain dilengkapi kemasan hitam dan krom yang membuatkan ia tampak sedikit lebar serta membuatkan ia tampak sporty.

Bentuk lampunya juga, kini lebih kecil berbanding sebelum ini yang mana disitulah terletak lampu Isyarat Membelok Berurutan LED. 

Di belakangnya, HR-V generasi baharu ini tidak lagi berbentuk seperti sebelumnya. Rekaannya kini berbentuk sebuah kenderaan fastback dan coupe. Pintu but belakangnya mempunyai ciri paling gah dengan menggunakan Jalur Lampu Belakang LED menjadi elemen reka bentuk yang paling menonjol.

Pada bampar bawahnya, ia juga dilengkapi kemasan hitam dan krom seperti pada bahagian hadapan.  

Ciri baharu pada ruang kabin

Pertama sekali, penulis ingin mengucapkan terima kasih kepada jurutera Honda kerana mendengar luahan sebahagian peminat SUV kompak itu selepas mengubah tempat corong penyaman udara supaya lebih praktikal dan tidak lagi seperti HR-V terdahulu. 

Reka bentuk keseluruhan pada papan pemuka adalah minimalis, tetapi masih menarik dengan beberapa ciri baharu yang ada pada jentera ini.

Seperti model RS lain, warna ruang dalamannya 90 peratus adalah warna hitam, cuma pada kerusi, tombol gear dan stereng menerima gabungan jahitan merah, selain krom pada tombol penyaman udara.

Bagi memudahkan anda, ini sembilan ciri baharu yang ada pada Honda HR-V:

  1. Sistem penyebaran corong udara pada tepi bahagian hadapan

2. Corong penyaman udara belakang

3. Kawalan penyaman udara Dwi-Zon

4. Sistem infotaimen 8 inci sesentuh dengan Apple Car Play dan Android Auto

5. Dua slot USB di belakang

6. Lapan pembesar suara

7. Meter pelbagai fungsi TFT tujuh inci

8. Tiga mod pemanduan (ECON, Normal, Sport)

9. Paddle Shifter (Pilihan untuk nyahpecutan dan bukan untuk penukaran gear)

Baca juga:

>> Sah! Honda HR-V generasi baru ditawarkan enjin petrol dan hibrid di Malaysia, kini dibuka pra-tempahan

>> 5 ciri ini anda perlu tahu generasi baharu Honda HR-V RS e:HEV di Malaysia

Prestasi 

Jentera yang penulis pandu ini menggunakan trenkuasa 1.5 liter kitaran Atkinson cycle i-VTEC petrol dengan motor elektrik dan dipadankan transmisi E-CVT automatik.

Ia menggunakan enjin yang sama seperti model City dan City Hatchback e:HEV yang dijual di Malaysia, tetapi kuasa output lebih tinggi iaitu 131PS, manakala tork sama iaitu 253Nm.

Penulis rasa kuasa pecutannya lebih padu dan rasa ringan untuk memecut dari 50 untuk mencecah 110km/j. Rasa pecutan itu seolah-olah jentera ini memiliki ‘turbo kecil’ untuk bantuan memecut.

Pretasinya sangat bagus untuk pemanduan biasa, tetapi kalau mahu memandu secara agresif, boleh tukar mod Sport.

Kedapan bunyi

Secara keseluruhan, ia lebih bagus berbanding sebelum ini, lebih senyap dan sangat selesa untuk penulis serta rakan media lain berborak dalam ruang kabin.

Cuma, bunyi bising akan menyerap masuk ketika menekan pedal minyak pada tahap agresif dan ia adalah satu kebiasaan bagi transmisi CVT.

Pada kelajuan purata antara 80 sehingga 100 km/j, bunyi bising sangat minimum sama ada enjin atau udara pada bahagian tingkap.

Pengendalian

Biarpun ia sebuah SUV kompak, pengendalian hampir menyamai pemanduan kenderaan segmen sedan. 

Ia tidak terlalu membuai dan masih lagi responsif untuk melayan selekoh pada kelajuan tinggi. Mungkin rim 18 inci yang digunakan menjadi satu faktor penting bagi pengendalian itu membuat ia lebih tajam memasuk selekoh dengan stabil.

Ketika penulis duduk di bahagian belakang, tidak rasa terlalu melambung ketika melalui jalan tidak rata serta tidak cepat pening ketika rakan media lain asyik melayan selekoh laluan berbukit.

Adakah spesifikasi Malaysia sama dengan Thailand? 

Apa boleh katakan, 80 sehingga 90 peratus spesifikasi yang dijual di Thailand mungkin sama untuk pasaran Malaysia.

Untuk luaran, aksesori RS dan rim 18 inci sama seperti varian Thailand, cuma untuk pasaran Malaysia dijangka tidak didatangkan dengan bumbung panoramik.

Harganya pula, buat masa ini Honda Malaysia masih lagi ‘berdiam diri’ dan anda tunggu sahaja pengumuman rasminya tidak lama lagi.

Galeri Gambar:

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here