Kia EV6 harga bermula RM300,668- Kereta elektrik sepenuhnya, 506km sekali cas

1684

Selepas sebulan pra-tonton, akhirnya pengedar rasmi kenderaan Kia di Malaysia, Dinamikjaya Motors Sdn Bhd melancarkan secara rasmi kenderaan elektrik baharunya menerusi Kia EV6.

Buat masa ini, hanya satu varian yang diperkenalkan dengan versi kuasa Long Range dan versi GT-Line.

Rekaan Luaran

Ini bermakna, ia hadir dengan penampilan yang sporty dengan kit badan GT-Line serta jarak pemanduan lebih jauh untuk sekali cas.



EV6 mengetengahkan rekaan sporty dan jauh berbeza daripada kembarnya, Hyundai Ioniq 5 yang mana kedua-duanya menggunakan Electric-Global Modular Platform (E-GMP).

Wajah EV6 diserlahkan dengan rekaan Tiger Nose yang nipis, bersama padanan sepasang lampu LED berbentuk tiga segi, bahagian bawahnya juga dipasang dengan kemasan hitam (piano black).

Pada bahagian sisi, ia dipadankan rim dua tona bersaiz 20 inci dan belakangnya tampil lampu futuristik dengan kemasan geometri pada lampu membeloknya. 

Ruang dalaman

Kenderaan elektrik ini tampil dengan kemasan hitam bersama gabungan putih. Rekaannya kelihatan sedikit futuristik dan sangat sesuai dengan kenderaan untuk masa depan.

Pada papan pemukanya, ia menempatkan dua skrin bersaiz 12.3-inci, selain dilengkapi pengecas telefon pintar tanpa wayar. 

Sebagai tambahan, EV6 juga dilengkapi dengan Surround View Camera (SVM) yang mana memberi pemandangan 360 darjah. Pada masa, ia turut dilengkapi ciri Kawalan Bantuan Parkir Pintar yang membantu memasuki parkir secara automatik.

Rangkaian kuasa

Bagi membawa jentera itu, ia dijana dua motor elektrik untuk memacu pacuan semua roda. Tenaga output yang disalurkan 325 PS dengan tork setinggi 605 Nm.

Pastinya jentera elektrik ini mempunyai kuasa pecutan yang sangat pantas, ia boleh memecut 0-100 km/j dalam 5.2 saat dengan kelajuan maksimum hanya 183 km/j.

Ia menggunakan bateri lithium-ion 77.4 kWh dan mampu memberikan jarak sehingga 506 km bagi pengecasan penuh mengikut standard WLTP. 

Seperti kenderaan elektrik yang lain, ia mempunyai dua pengecas iaitu AC dan DC yang mana masing-masing mengambil masa kira-kira tujuh jam untuk pecuh, manakala 18 minit bagi pengecasan antara 10-80 peratus.

Ciri Keselamatan

EV6 ini dilengkapi ciri keselamatan dengan tujuh bag udara, Sistem Kunci Antibrek, Kawalan Kestabilan Elektronik, Safe Exit Assist, Traction Control System, Elekctronic Brake-Force Distribution, Brake Assist dan banyak lagi.

Bagi ciri keselamatan termaju, EV6 dilengkapi dengan High Beam Assist, Blind Spot Collision-Avoidance Assist, Rear Cross-Traffic Collision Assist dan banyak lagi.

Harga dan waranti

EV6 hadir dalam bentuk import sepenuhnya (CBU) dari Korea Selatan dan boleh anda miliki pada harga bermula RM300,688 seunit. Ia ditawarkan dalam warna hitam, putih, merah, biru dan kelabu. 

EV itu juga didatangkan bersama jaminan selama lima tahun atau perbatuan sejauh 150,000km (mana-mana tiba dahulu) Jaminan bateri pula sehingga tujuh tahun atau perbatuan sejauh 150,000km.

Galeri Gambar:

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here