Langgar 12 kereta di Tambak Johor, pemandu lori ada 33 saman direman hari ini

1253

Semalam tular di media sosial memaparkan sebuah lori merempuh beberapa kenderaan di Tambak Johor menghala ke Singapura.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki tempatan berumur 34 tahun itu ditahan pada jam 1.15 tengah hari dan mendapati kemalangan berpunca daripada masalah teknikal.

Kemalangan yang berlaku pada jam 9.25 pagi  itu menyebabkan lori yang membawa muatan habuk batu itu hilang kawalan lalu melanggar kenderaan di depan. 



“Hasil siasatan awal mendapati lori yang dipandu hilang kawalan kerana mengalami kerosakan teknikal di bahagian brek, lalu melanggar kenderaan lain di tempat kejadian,” katanya. 

Kemalangan itu melibatkan enam kenderaan tempatan dan enam kenderaan asing. Selain lori sembilan daripadanya adalah kereta, dan masing-masing satu van dan bas.

Raub berkata, tiada kecederaan dilaporkan dalam kemalangan itu dan hasil ujian air kencing pemandu lori adalah negatif dadah. Hasil semakan mendapati pemandu memiliki 33 rekod saman pelbagai kesalahan dan enam daripadanya belum dijelaskan.

Pemandu lori akan direman hari ini (8 Julai) di Mahkamah Johor Bahru bagi membantu siasatan. Kes di siasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

Sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tidak lebih daripada lima tahun dan denda tidak kurang dari RM5,000 dan tidak lebih RM15,000.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here