Kerajaan negara ini beri pengangkutan awam percuma atasi trafik sesak, Malaysia perlu contohi?

1004

Pernahkah anda dengar tentang negara Luxembourg?. Negara eropah kecil ini dikelilingi oleh Belgium, Perancis dan Jerman.

Kira-kira 640,000 rakyat negara itu menikmati pendapatan per kapita tertinggi dunia berbanding mana-mana negara merdeka (lebih baik berbanding Monaco dan Liechtenstein).

RAKYAT MILIKI BANYAK KERETA



Bagaimanapun negara kecil ini juga berdepan dengan beberapa masalah yang sukar diatasi salah satunya adalah kereta.

Tiada tempat lain di Kesatuan Eropah (EU) yang agak ‘gila kereta’ seperti Luxembourg, yang mempunyai kepadatan kenderaan tertinggi di benua itu, dengan 696 kereta bagi setiap 1,000 orang pada 2020.

Hampir sembilan daripada 10 isi rumah Luxembourg memiliki kereta; satu daripada 10 keluarga mempunyai tiga atau lebih. Tarif dan cukai yang rendah memberikan Luxembourg diesel termurah di EU dan petrol termurah di Eropah Barat.

Bahkan, anda akan menemui wakil jualan Ferrari dan Maserati di bandar kecil bukannya ibu kota utama seperti kebanyakan negara. Trafik di Luxembourg juga bergerak secara ‘merangkak’, manakala bandarnya dipenuhi dengan parkir kereta.

Kerana situasi itu juga musim panas ini polis merayu kepada rakyat supaya tidak memandu ke pantai dan tasik pedalaman kerana trafik sesak akibat kenderaan yang diletakkan secara haram.

Jangkaan populasi melepasi 690,000 menjelang 2030, Luxembourg berisiko ‘tenggelam’ kerana kereta.

IDEA PERKHIDMATAN PERCUMA

Untuk mengekang ketagihan pemanduan dalam kalangan rakyat, negara kecil tersebut mencuba dengan idea pelaksanaan perkhidmatan percuma bagi semua pengangkutan awam bermula 29 Februari 2020.

Rakyat tidak membayar satu senpun bagi menaiki bas, kereta api, trem mahupun kereta api dalam sempadan Luxembourg kecuali tiket bagi kelas pertama. 

Idea untuk tidak mengenakan bayaran kepada penumpang mungkin kelihatan mudah dilaksanakan bagi negara kecil dan kaya seperti Luxembourg. (Selain subsidi sedia ada, percubaan itu menambah €41 juta (RM182 juta) kos pengangkutan tahunan kerajaan).

Namun, perlu diingatkan program transit percuma sudah di jalankan di beberapa bandar dan negara sebelum ini bagi menangani peningkatan kos tenaga atau trafik. Rom bereksperimen dengan bas percuma pada 1971 dan Austin, Texas mencubanya pada 1989 dan 1990.

Sistem tambang bas dan kereta api di jalan bandar Kansas dikurangkan sejak 2020; dan Datuk Bandar Boston, Michelle Wu berikrar untuk ‘pengangkutan percuma’ di seluruh bandar Massachusetts, bermula dengan tiga laluan bas tanpa tambang.

Salah satu usaha yang paling lama dijalankan adalah di ibu negara Estonia, Tallinn yang menawarkan transit awam percuma untuk penduduk sejak 2013, manakala warga Estonia juga tidak membayar tambang bagi perjalanan bas luar bandar.

Pengangkutan tanpa tiket juga baru-baru ini diperkenalkan di bandar Dunkirk, Perancis, dan Frýdek-Místek Republik Czech. Jerman pula menawarkan pas perjalanan untuk semua perkhidmatan urban dan serantau kecuali kereta api laju antara bandar selama tiga bulan musim panas tahun ini. 

Ini adalah usaha kerajaan mengurangkan pelepasan karbon dan membantu penduduk yang dilanda harga bahan bakar tinggi. Pelaksanaan di rantau eropah lebih mudah kerana perkhidmatan kereta api dan bas yang boleh dipercayai (dan sokongan subsidi yang tinggi) adalah standard.

Dasar sedemikian mungkin memainkan peranan untuk rakyat tidak menggunakan kenderaan persendirian sebagai pengangkutan.  Tetapi, sama ada pengangkutan percuma ini berkesan bergantung kepada visi pelaksanaan.

MUDAHKAN PERGERAKKAN

Bagi pihak pengguna, tidak lagi perlu menggunakan tiket memudahkan pergerakkan kerana tidak perlu bimbang sama ada tiket atau pas yang ada masih sah atau mencari lokasi untuk membeli tiket.

Seorang pemilik kafe hanya beberapa minit dari stesen pusat bandar Luxembourg mengatakan golongan muda dan anaknya menggunakan kemudahan itu untuk bersiar-siar di seluruh negara.

Bagi pengguna lain, penjimatan kos lebih bermakna. Seorang guru berusia 26 tahun menjelaskan dapat menjimatkan kos €500 (RM2,223) setahun selain menjimatkan masa perjalanan kerana tidak perlu lagi menghadap trafik sesak. 

Keputusan kerajaan juga membuahkan hasil apabila mengurangkan bilangan kereta di jalan raya. 

TIDAK MENARIK MINAT SEPENUHNYA

Bagaimanapun, kajian menunjukkan tawaran pengangkutan percuma bukanlah sepenuhnya dapat menarik pengguna daripada tidak menggunakan kereta. Isu lain seperti kelemahan kemungkinan kereta api yang terlalu sesak, tertangguh atau dibatalkan.

Sementara itu, data lain juga menunjukkan pejalan kaki atau penunggang basikal yang lebih banyak memanfaatkan polisi perjalanan percuma berkenaan. 

Untuk menjauhkan orang ramai daripada tahap kebergantungan terhadap kereta adalah dengan meningkatkan pemilikan kenderaan atau kos bahan api, sesuatu yang kerajaan pakatan kiri Luxembourg sangat berhati-hati untuk melaksanakannya. 

Walaupun cukai bahan api diselaraskan lebih hampir kepada tahap EU pada 2021, beberapa daripada kenaikan ini ditangguhkan buat sementara waktu pada Mei 2022 sebagai sebahagian daripada “pakej perpaduan” kerajaan untuk membantu rakyat mengharungi krisis tenaga yang disebabkan oleh pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Selain itu, pelaksanaan tersebut juga masih tidak menyeluruh, walaupun penduduk yang berdekatan dengan bandar Luxembourg, liputan transit awam tidak mencukupi untuk keperluan kebanyakan rakyat, dan bergerak secara eksklusif melalui bas atau kereta api merupakan cabaran yang lebih besar di luar pusat bandar.
 
Sementara itu, sebagai sebahagian daripada pelan mobiliti negara untuk 2035, Luxembourg akan memulakan 14 penambahbaikan rel utama dan mereka bentuk semula pelan jalan bandar selain memperkenalkan laluan transit laju bas dan lorong ‘kongsi kereta’ di jalan utama.

PUNCA LAIN KESESAKAN

Di samping itu, jalan raya Luxembourg tidak sesak hanya kerana populariti pemilikan kereta. Ini kerana sebilangan besar pekerja Jerman tinggal di luar sempadan negara.
 
Sebanyak 46 peratus tenaga kerja Luxembourg terdiri daripada warga antarabangsa. Kira-kira 110,000 datang dari Perancis, dengan 50,000 lagi setiap satu datang dari Jerman dan Belgium.
 
Ramai yang tinggal di seberang sempadan kerana kos perumahan yang tinggi. Pada 2021, purata sewa di bandar-bandar selatan Luxembourg lebih daripada €1,200 (RM5,335)
 
Di bandar sempadan seperti Arlon di Belgium, sewa purata sekitar €700 (RM3,113) malah di sini sewa adalah lebih tinggi daripada tempat lain di Belgium kerana jarak bandar dengan Luxembourg.
 
 
Kesannya penghijrahan beramai-ramai setiap hari ke dalam dan luar negara yang menyesakkan jalan raya dan kereta api pada waktu puncak merentasi sempadan. Namun, bandar Luxembourg lebih senyap apabila waktu kerja tamat.
 
Ini boleh dikatakan perpecahan terbesar di negara ini antara mereka yang mampu tinggal di dalam sempadan dan mereka yang tidak mampu.
 
Pelaksanaan pengangkutan percuma masih belum berjaya sama ada mengurangkan lalu lintas atau ketidaksamaan. Mana-mana bandar atau wilayah yang mempertimbangkan subsidi transit awam yang lengkap harus memberi penjelasan terlebih dahulu tentang perkara yang boleh dan tidak boleh disampaikan oleh dasar tersebut.
 
Menghapuskan tiket sahaja tidak akan berfungsi sebagai dasar yang berdiri sendiri untuk kemampanan dan kesaksamaan sosial yang lebih besar.
 
Ia perlu disertai dengan usaha lain, seperti sekatan yang lebih ketat ke atas penggunaan kereta atau faedah perumahan lebih murah membolehkan lebih ramai pengguna yang bekerja di kawasan tinggal berdekatan. Perubahan itu mungkin lebih sukar untuk dilaksanakan secara politik dan lebih mahal untuk dikekalkan.
 

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here