Kehilangan seorang lelaki yang dilaporkan hilang Oktober tahun lalu akhirnya terjawab selepas penemuan rangka manusia dalam kenderaan pelbagai guna (MPV), Nissan Grand Livina yang ditemui di dasar Sungai Api-Api, Nenasi, Pekan, semalam.
Rangka yang diselaputi lumpur itu dipercayai mangsa yang hilang, Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain, 25, berdasarkan penemuan pas pekerja atas namanya.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin dipetik laporan Sinar Harian berkata, penemuan MPV di dalam sungai itu disedari apabila seorang pengguna jalan raya ketika berhenti untuk membuang batang besi yang ditemui terjatuh di atas jambatan sungai berkenaan pada jam 11.39 pagi.
“Berdasarkan maklumat itu, sepasukan anggota polis bersama pihak bomba ke lokasi pada jam 12.50 tengah hari dan kerja-kerja mengeluarkan kenderaan itu dilakukan menggunakan jengkaut dan lori tunda.
“Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan kenderaan membawa kepada penemuan rangka manusia dipercayai milik mangsa yang hilang hampir setahun lalu,” katanya.
Rangka berkenaan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk bedah siasat manakala kenderaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan untuk siasatan lanjut.
Mohd Zaidi berkata, semakan ke atas kenderaan itu mendapati ia didaftarkan atas nama seorang wanita dipercayai ibu mangsa yang beralamat di Perumahan Bakti, Pasir Gudang,Johor.
“Hasil siasatan ke atas identiti wanita itu mendapati, terdapat dua laporan polis dibuat olehnya berkaitan kehilangan mangsa yang juga anak lelakinya.
“Berdasarkan laporan yang dibuat, mangsa dilaporkan keluar rumah kira-kira jam 1 pagi pada 29 Oktober tahun lalu untuk ke tempat kerjanya di Kemaman, Terengganu,” katanya.
Tambah beliau, ketika itu mangsa memandu MPV jenis Nissan Grand Livina seorang diri dan kehilangan anaknya disedari hari berikutnya selepas mangsa gagal dihubungi.
“Ibu mangsa sudah dihubungi untuk membuat pengecaman kenderaan, pakaian serta dokumen yang dijumpai bersama rangka tersebut,” katanya.