Bayi perempuan berusia enam bulan di Indonesia meninggal dunia selepas menempuh perjalanan selama 13 jam menaiki motosikal bersama ibu bapanya semata-mata mahu menonton perlawanan bola sepak.
DetikJatim melaporkan, pasangan berusia 38 dan 37 tahun yang berasal dari Tegal, Jawa Tengah membawa bayi mereka untuk menonton perlawanan bola sepak di Surabaya sejauh kira-kira 500 kilometer pada Sabtu lalu.
Bapa mangsa yang dikenali sebagai FJ berkata, mereka pada mulanya mahu menyewa kereta tetapi akibat sewa yang terlalu mahal dia mengambil keputusan untuk menunggang motosikal sahaja.
“Kalau menyewa kereta saya perlu menghabiskan Rp2 juta (RM1,795). Jadi saya pilih untuk menunggang motosikal sahaja. Kami bertolak pada jam 5.30 petang Sabtu.
“Perjalanan kami mengambil masa selama 13 jam kerana kami berhenti beberapa kali untuk berehat,” katanya.
Tidak lama selepas tiba di Surabaya, bayinya tiba-tiba batuk tidak berhenti dan menanggis menyebabkan dia segera membawa anaknya ke hospital.
Bagaimanapun, tidak lama selepas menerima rawatan di sebuah hospital di Surabaya bayi malang berkenaan dilaporkan menghadapi kesukaran bernafas sebelum meninggal dunia.