Satu trend di media sosial yang mencabar remaja mencuri kereta Kia dan Hyundai menyebabkan peningkatan mendadak kecurian membabitkan dua jenis kenderaan itu di Amerika Syarikat.
Trend itu bermula di TikTok dan Youtube dimana pengguna diajar untuk mencuri dua jenis kenderaan berkenaan dengan menggunakan hanya wayar USB.
Kenderaan yang menjadi sasaran adalah model Kia dari tahun 2011 hingga 2021 dan model Hyundai dari tahun 2015 hingga 2021.
Model kenderaan itu masih menggunakan sistem kunci untuk menghidupkan enjin sekali gus meningkatkan risiko untuk dicuri.
Trend itu semakin merebak selepas sekumpulan remaja di Milwaukee yang menggelar diri mereka sebagai Kia Boys merakamkan aksi mereka mencuri kenderaan sebelum membawa kenderaan curi berkenaan untuk bersiar-siar.
Perkara yang sama turut dikesan di St. Petersburg, Florida dan polis negeri itu memberitahu, daripada 56 kenderaan yang dicuri di negeri itu sejak 11 Julai lalu, 23 daripadanya adalah kereta jenis Kia dan Hyundai.
Di laman Twitter, pihak polis negeri itu memberi amaran kepada pemilik kereta Hyundai dan Kia supaya berhati-hati dan meningkatkan keselamatan kenderaan mereka.
“Kepada pemilik kenderaan Kia dan Hyundai pastikan kenderaan anda sentiasa dikunci,” kata pihak berkuasa.