Seorang penjual ayam maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh kereta yang sedang memotong di laluan bertentangan di Jalan Kota Bharu-Kuala Krai berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mulong, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa Mohammad Syukrie Suludin, 29, meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang Yamaha Ego dari arah Kota Bharu menghala ke Ketereh untuk menghantar ayam proses.
Ketika tiba di lokasi kejadian, Toyota Vios dipandu seorang jururawat yang berada di laluan bertentangan memasuki ke jalan mangsa.
“Insiden itu menyebabkan kereta tersebut merempuh motosikal berkenaan sebelum mangsa tercampak sejauh 50 meter. Kereta yang dinaiki jururawat itu turut terbabas ke laluan bertentangan sejauh 200 meter.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala wanita berusia 40 tahun itu cedera parah pada bahagian kepala dan tengkuk sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk rawatan lanjut,” katanya.