Ketika memandu Toyota Corolla Cross, barulah saya ‘perasan’ SUV tersebut banyak di jalan raya.
Beberapa kali saya terserempak dengan pemilik Corolla Cross, sesekali kami bertukar lirikan di jalanan. Mereka memandu kereta sendiri, saya pula ‘kereta pinjam’ daripada UMW Toyota Motor.
Saya memandu uji varian 1.8V yang berharga sekitar RM137,400. Rata-rata yang mencari SUV ini memiliki bajet sekitar RM150k dan keduanya kerana jenama Toyota.
Ada yang menganggap ‘Toyota’ itu sendiri tidak perlu lagi dipertikaikan kerana kebolehpercayaan dan ketahanan.
Tambahan, ia menggunakan enjin Corolla Altis yang sudah dijual bertahun dan jarang sekali pengguna mengeluh tentang janakuasa tersebut.
Setiap individu memiliki pandangan berbeza. Ini pula pendapat saya selepas memandu Corolla Cross 1.8V selama 5-hari.
- Ketika pertama kali masuk ke dalam kabin, pandangan saya terarah ke plastik keras pada papan pemuka yang tidak dibuat dengan baik. Namun, kekurangan itu ditutupi dengan beberapa bahagian sentuhan lembut.
- Tiada yang menarik pada bentangan papan pemuka Corolla Cross yang tampil ringkas kemudian dipadankan dengan kemasan krom agar tampil elegan. Namun, penggunaan plastik keras mungkin ada kebaikan bagi tempoh jangka panjang terutamanya sinaran UV.
- Tiada cermin pandang belakang elektrokromik mahupun lampu peta LED, tetapi sekurang-kurangnya terdapat lampu suasana LED biru di sepanjang pintu.
- Fungsi paparan infotainmen sembilan inci adalah responsif bagaimanapun sesekali ada gejala lag sekaligus melambatkan operasi peralihan ke menu yang lain.
- Paparan kamera 360 darjah juga kadang kala agak aneh sehinggakan tidak begitu membantu pemandu. Namun begitu, pengguna boleh memilih beberapa tetapan paparan imej PVM yang disediakan.
- Selain itu, tiada butang ‘kembali’ khas untuk ke skrin utama walaupun selepas gear diletakkan pada P. Saya mengambilmasa untuk membiasakan diri.
- Tersedia ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, tetapi anda perlu menggunakan wayar lalu disambungkan ke USB di bahagian bawah sebelah kanan paparan.
- Tawaran ruangan kabin Corolla Cross sedikit sempit terutamanya penumpang belakang. Sekiranya pemandu depan memiliki ketinggian 183cm, ruang kaki penumpang belakang agak terhad. Corolla Cross bukanlah jawapan buat yang menginginkan ruangan lapang.
-
Pemilihan operasi brek parkir kaki agak old skool. Mungkin kerana Toyota ingin menyediakan ruang yang minimalis pada konsol tengah.
Pengalaman pemanduan..
Corolla Cross adalah jawapan yang tepat sekiranya anda mencari sebuah SUV untuk kegunaan harian di bandar. Saiznya juga agak besar berbanding Honda HR-V dan Proton X50.
Memandu di jalan dan lot parkir yang sempit tiada masalah, berkat berat stereng yang ringan memudahkan manuver.
Enjin 2ZR-FE 1.8 liter 4-silinder dengan kuasa 139PS dan tork 172Nm menawarkan pemanduan yang lancar.
Pembangunan kuasa juga pantas ketika anda ingin memotong walaupun pada 100kmj. Apatah lagi ketika kruising di lebuhraya.
Ini dibantu dengan transmisi CVT daripada Aisin yang memiliki virtual nisbah 7-kelajuan. Sekaligus memberikan anjakan gear acah transmisi tork konverter automatik. Pada kelajuan rendah, enjin memberikan rasa bersemangat dan responsif bahkan lebih halus.
Suspensi topang MacPherson di depan dan torsion beam di belakang merupakan paduan keselesaan yang baik dalam kabin.
Bantingan terasa cukup empuk walaupun agak terasa sedikit keras di bahagian belakang. Tetapi untuk digunakan di bandar rasanya masih sangat selesa. Apalagi bentuk kerusinya yang dibuat memeluk badan.
Suspensi ini juga menjadi salah satu faktor yang membuat pengendaliannya cukup mampan untuk mengambil selekoh. Olengan badan juga minimum.
Posisinya yang tinggi memudahkan pemandu melihat jalan depan dengan mudah. Tahap NVH juga sederhana yang mana bunyi angin dan bising tayar ditapis dengan baik.
Bicara soal kecekapan bahan api, pemanduan bercampur dengan jarak 100km menawarkan rekod penggunaan 5.8 liter setiap 100km.