Tukar RX-Z dengan tanah, pemilik dedah nilai aset lebih tinggi daripada harga motor

1958

Sebelum ini tular di media sosial seorang pembeli rela menukar sebidang tanah dengan sebuah model yang sedang ‘panas’ di pasaran iaitu Yamaha RX-Z.

Pemilik yang menetap di Taman Sri Selising, Pasir Puteh, Kelantan itu melepaskan tanah miliknya di Mukim Banggol, Setol untuk ditukar dengan Yamaha RX-Z Catalyzer milik rakannya, Nik Mohd Zulkifli Mohd Noor.



“Nilai tanah itu memang lebih tinggi daripada harga motosikal namun saya lepaskan juga (tanah) dan anggap sedekah buat kawan,” kata usahawan perabot, Ahmadnasurddin Ghazali, 42.

Ahmadnasurddin berkata idea menukar tanah seluas 0.05 hektar dengan motosikal itu datang secara spontan selepas melihat perkongsian rakannya di Facebook (FB).

“Saya memang berkenan dengan RXZ (motosikal Yamaha RXZ Catalyzer) dan kebetulan rakan mahu menjualnya dengan harga RM35,000.

“Saya ternampak dia muatnaik iklan di FB kemudian menghubunginya menerusi WhatsApp dan cuba berunding dengan menawarkan tanah untuk ditukar dengan motosikal,” kongsi bapa kepada enam anak itu.

Awalnya, rakan Ahmadnasurddin menganggap tawaran tersebut sekadar gurauan namun selepas berbincang mereka sepakat menukar milik aset masing-masing.

“Ikutkan, tanah itu bernilai RM70,000, tetapi rezeki kawan saya apabila dapat memilikinya. Buat masa ini, saya belum gunakan motosikal dibeli dan simpan saja di rumah kerana sayang,” katanya yang memiliki tanah berkenaan sejak sejak dua tahun lalu. 

Sementara itu, rakannya Nik Mohd Zulkiflie berkata, dia langsung tidak menyangka Ahmadnasurddin bersungguh membuat tukaran tanah dengan motosikal yang dibelinya tahun lalu.

“Dia (Ahmadnasurddin) rakan baik saya dan kami sudah kenal lama. Saya tahu dia minat motosikal RX-Z tetapi tak sangka pula sampai mahu dapatkannya dengan tawarkan saya tanah.

“Jadi selepas berbincang, kami bersetuju dan sudah menyelesaikan proses pindah milik dan merancang untuk membina rumah di tanah itu nanti.

“Saya ada baca komen netizen dan ada melemparkan kata negatif kepada rakan saya kerana melepaskan tanah miliknya. Hakikatnya, rakan saya itu berharta orangnya namun disebabkan minat dia sanggup,” katanya.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar
 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here