Kastam rampas 50 kenderaan import tanpa AP bernilai RM11.4 juta

1058

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, menyita 50 kenderaan yang tidak memiliki permit import (AP) dengan nilai rampasan bernilai RM11.37 juta.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Mohammad Sabri Saad, berkata rampasan membabitkan 41 kereta mewah pelbagai jenis dan sembilan motosikal berkuasa tinggi bernilai RM11,369,036.50 termasuk jumlah duti dan cukai.



“Anggaran nilai rampasan adalah RM4.25 juta manakala jumlah duti dan cukai terbabit dianggarkan RM7.12 juta,” katanya.

Kesemua kenderaan tersebut disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1957 kerana mengimport barang larangan yang pengimportannya dibenarkan dengan syarat tertakluk Permit Import dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Dalam Ops Bearing 2022 yang dilaksanakan bermula 15 Ogos lalu di sekitar Pelabuhan Klang sebanyak 45 kenderaan import dikesan dan dirampas di zon bebas Pelabuhan Klang, manakala lima lagi dirampas di sekitar daerah ini.

Kenderaan dan motosikal import yang disita itu dibawa dari pelbagai negara termasuk Jepun, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Sweden.

“Berdasarkan siasatan awal mendapati ada kenderaan import ini dibawa masuk oleh pelajar antarabangsa yang baru mendaftar di institut pengajian tinggi di negara ini.

“Mereka tidak tahu ia menjadi kesalahan jika membawa kereta import tanpa permit import terdahulu. Namun, kita tidak akan berkompromi dengan alasan itu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam terdekat.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here