Penduduk California diminta tidak mengecas kereta elektrik pada waktu puncak, beberapa hari selepas negeri berkenaan mengumumkan pemberhentian penuh jualan kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) menjelang 2035, Rabu lalu.
Suhu yang mencapai 44 darjah celcius diramal di beberapa kawasan pinggir bandar Los Angeles ketika gelombang haba ‘membakar’ bahagian barat Amerika Syarikat.
Cuaca panas terik itu akan menyebabkan penggunaan tinggi pada talian penghantaran elektrik yang beroperasi secara maksimum ketika orang ramai menghidupkan pendingin hawa pada cuaca panas terik terutamanya selepas pulang dari tempat kerja atau sekolah.
“Pengguna digesa untuk menjimatkan kuasa dengan menetapkan termostat kepada 78 darjah atau lebih tinggi, mengelakkan penggunaan peralatan utama dan mematikan lampu yang tidak diperlukan,” kata syarikat pembekal elektrik California.
Pihak syarikat juga meminta pemilik kenderaan elektrik tidak mengecas kereta mereka pada jam 4 petang dan 9 malam.
“Mengurangkan penggunaan tenaga semasa Flex Alert boleh membantu menstabilkan talian penghantaran elektrik ketika penggunaan tinggi dan mencegah langkah kecemasan drastik, termasuk ketiadaan bekalan elektrik secara berperingkat dan bersasar mengikut tempat,” tulis kenyataan tersebut.
Gesaan itu dibuat seminggu selepas pentadbiran California mengumumkan pengharaman penjualan kenderaan baharu petrol dan diesel mulai 2035.
Bagaimanapun, undang-undang baharu itu tidak termasuk SUV, kereta dan trak ringan yang menghasilkan sifar emisi yang mana kenderaan plug-in hibrid yang sangat cekap dibenarkan digunakan.
Rayuan untuk memulihara talian penghantaran elektrik itu bagaimanapun disambut dengan cemuhan di laman Twitter dengan sebilangan netizen berkata, pengumuman itu adalah bukti agenda hijau negeri California ‘separuh masak’.
“Mungkin kita perlu memikirkan cara untuk membaiki grid elektrik kita sebelum mengharamkan kereta petroll…sekadar pemikiran,” kata @AerysGG.
“Jadi………ini yang mereka mahu. Berjalan? Menumpang kereta?? Bergerak ke keadaan yang lebih munasabah??” kata @cinda_scheef.