Suzuki Malaysia memperkenalkan Raider R150 Fi ke pasaran tempatan pada suku pertama tahun ini dengan harga cadangan sekitar RM8,000.
Moped baharu itu dijana enjin 147.3cc silinder tunggal dengan kuasa 18.2hp dan tork 13.8Nm yang mana paling tinggi dalam segmennya. Kemudian ia dilengkapi dengan kotak gear 6-kelajuan constant mesh.
Jadi tidak hairan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah pernah memetik nama kapcai ini ketika menyuarakan kebimbangan lambakan motosikal moped lincah berprestasi tinggi sejak kebelakangan ini.
Ini susulan tersebarnya video ujian dyno model keluaran baharu, Suzuki Raider R150 Fi yang mencecah kelajuan 177kmj.
ENJIN LANCAR, SYAHDU
Bagaimana pula dengan perkongsian pemilik Raider R150 Fi?. Menerusi grup Facebook Suzuki Raider R150 Fi Malaysia (SRFiM) ramai berpuas hati dengan tawaran prestasi kapcai berkenaan.
Seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Emp Ty berkongsi menggunakan kapcai tersebut selama seminggu dengan rekod odometer sejauh 1200km.
Dia berpuas hati dengan tawaran karakter enjin motor tersebut seperti menunggang Yamaha 125Z standard yang sudah dimodifikasi.
“Power biasa di rpm bawah, tetapi macam ada VTEC atau power valve pada 8,000 hingga 12,000rpm. Sangat seronok memang gian dan stim.
“Bunyi enjin kuat dan kasar waktu melahu, sebelum ini guna LC, enjin senyap sampai tak perasan enjin hidup,” katanya yang menggunakan motor tersebut sebagai rider makanan.
Tunggangan yang ditawarkan Suzuki Raider juga begitu lancar walaupun sekali pandang rekaan pelana yang tirus seolah tidak memberi keselesaan untuk tunggangan jauh.
“Seat selesa, mula-mula risau juga sebab nampak seat macam tak selesa, tetapi kerja Foodpanda sembilan hingga 14 jam sehari, ternyata seat selesa.
“Monoshock Raider guna Showa, memang rasa sangat beza dengan mono LC yang guna KYB. Selesa sangat untuk kegunaan harian.
“Mula-mula saya tak minat Raider sebab tiada bakul tetapi lepas tengok bakul mudah didapati dan ngam dipasang saya terus berminat. Saya sangat perlukan bakul untuk kegunaan harian dan Foodpanda,” kongsinya.
Daripada segi penggunaan minyak, Emp Ty menjelaskan Raider menawarkan penjimatan terutama ketika menunggang sekitar 4,000rpm hingga 6,000rpm.
Cuma kelemahan adalah suluhan lampu depan yang rendah tidak menawarkan penglihatan jauh walaupun cahayanya terang.
Sementara itu, seorang lagi pemilik Raider dengan nama Afiq Hanifah berkongsi kapcai tersebut merupakan motosikal standard paling mantap selepas sebulan digunakan.
“Untuk perjalanan jauh kelajuan yang ditunggang 140 hingga 150kmj. Setakat Ipoh ke Johor Bahru tu senyum jela nak lock throttle.
“Dulu pakai LC dengan Wave125 modified, memang laju tapi kena modifiedla. Selamat dan yakin, tak rugipun pakai standard Raider 150 ni,” ujarnya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar