Polis sedang mengesan sekumpulan remaja lelaki dipercayai mengiringi van mayat dan menghalang lalu lintas di persimpangan lampu isyarat pekan Meru, Klang, seperti tular di media sosial, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao, berkata pihaknya mendapat maklumat mengenai video tular berdurasi 1 minit 5 saat itu kira-kira jam 10.43 pagi semalam.
“Siasatan mendapati video yang dimuatnaik melalui laman sosial Facebook di bawah akaun ‘We Are Malaysian’ itu memaparkan sekumpulan remaja tidak memakai topi keledar menaiki motosikal dan kereta mengiringi van mayat yang menghalang lalu lintas.
“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Klang Utara membuat siasatan awal dengan mengesan dan akan memanggil penganjur untuk memberikan keterangan serta mengenal pasti suspek yang terbabit,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menafikan pembabitan kumpulan samseng dalam perarakan berkenaan seperti dakwaan di media sosial.
Kes disiasat mengikut Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang mana hukuman denda antara RM1,000 sehingga RM5,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar