Honda Malaysia panggil balik 630 City Hybrid 2021 dan 72 Civic 2022, ini sebabnya…

653

Honda Malaysia mengumumkan panggil balik membabitkan model City Hybrid 2021 dan Civic 2022 dalam langkah keselamatan berjaga-jaga.

Ia untuk menggantikan kamera Advanced Driver Assistance System (ADAS) yang dipasang pada cermin depan pada 630 unit City Hybrid 2021 terjejas. Kamera mungkin tidak berfungsi dengan betul dan menyebabkan ADAS tidak aktif semasa memandu.

Selain itu, 72 unit Civic 2022 dipanggil balik untuk membetulkan titik kimpalan pada pelaras slaid di tempat duduk pemandu. Ia boleh menyebabkan tempat duduk pemandu tidak berada pada posisi yang betul ketika memandu sekali gus menjejaskan perlindungan tali pinggang keledar kepada pemandu. 



Honda Malaysia memohon maaf atas kesulitan yang dialami pelanggan yang terjejas dan memberi jaminan bahawa model pengeluaran dan jualan semasa yang lain tidak terjejas dalam penarikan balik produk itu. 

Sehingga hari ini, tiada insiden kemalangan atau kecederaan yang disebabkan oleh isu itu dilaporkan di Malaysia.

Penarikan balik produk itu perlu kerana keselamatan pelanggan adalah keutamaan dan Honda Malaysia akan terus mengekalkan ketelusan serta kawalan ketat untuk pelanggan.

Semua pelanggan yang terjejas akan dimaklumkan melalui surat pemberitahuan, yang akan menyertakan butiran penarikan balik produk. 

Honda Malaysia menggesa semua pelanggan yang terjejas untuk menghubungi mana-mana pengedar sah Honda untuk membuat temujanji selepas menerima pemberitahuan supaya kenderaan mereka diperiksa dan dibaiki jika perlu, tertakluk kepada ketersediaan alat ganti. 

Honda Malaysia menggalakkan pelanggan memuat turun dan mengemas kini butiran mereka melalui aplikasi mudah alih HondaTouch untuk pengesahan lanjut mengenai panggilan balik ini.

Pemeriksaan, pembaikan dan penggantian bahagian yang terjejas adalah percuma dan semua kos berkaitan aktiviti penarikan balik ini akan ditanggung oleh Honda Malaysia.

Pemilik kenderaan boleh mendapatkan maklumat atau menyemak status kenderaan mereka mengenai panggilan balik itu dengan menghubungi nombor Bebas Tol Honda Malaysia di 1-800-88-2020 atau log masuk ke productrecall.honda.com.my.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here