Selepas Ford Ranger, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) selaku pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia, kini melancarkan SUV generasi baharu menerusi Ford Everest untuk pasaran tempatan.
Sebagai pilihan, tiga varian ditawarkan untuk Ford Everest membabitkan:
- Sport (2WD)
- Trend (4WD)
- Titanium (4WD)
Penampilan
Jarak roda Everest generasi baharu ini lebih panjang 50 mm, jejak treknya juga ditambah sebanyak 50 mm.
Gabungan perubahan ini memberikan kawalan atas jalan dan kendalian off-road yang lebih baik, serta memperbaiki sudut kelegaan hadapan dan belakang kenderaan.
Tetapan baharu bagi penyerap hentak membolehkan lebih kawalan dan keseronokan dalam pemanduan Everest, baik ketika di atas jalan mahupun off-road.
Sisinya, imejnya ditonjolkan lagi dengan garis badan yang ketara, dari depan hingga ke belakang. Jejak trek serta lekuk roda yang lebih besar memperkukuhkan lagi imej tegap, selain memberi kelainan tersendiri kepada Everest generasi baharu ini.
Cermin dan pillar belakang turut ditingkatkan, serta menambah saiz cermin belakang dan menjadikan kerusi barisan ketiga menerima lebih pencahayaan dari luar.
DNA rekaan global Ford terserlah pada bahagian DRL LED bentuk C yang bersepadu dengan palang gril di hadapan, membawa kesan penggayaan wajah depan yang lebih menarik. Tema sama diteruskan di belakang dengan kehadirannya lampu LED bersepadu berkelebaran penuh.
Varian Sport dan Trend dilengkapi dengan lampu LED, sementara Titanium menampilkan lampu utama LED Matrix terkini Ford dengan lampu tinggi anti-silau.
Lampu utama Matrix berkenaan juga menawarkan kemampuan belokan dinamik dan statik serta pencahayaan yang bergantung kepada kelajuan, yang boleh juga melaraskan capahan pancaran cahayanya mengikut kelajuan kenderaan. Lampu kabus LED di depan dan belakang serta lampu brek LED adalah standard untuk semua varian.
Sport dan Titanium datang dengan rim aloi bersaiz 20-inci, sementara Trend menggunakan saiz 18-inci. Everest generasi baharu ini mempunyai kemampuan meredah air sedalam 800 mm dengan jarak kelegaan tanah setinggi 200 mm.
Everest Titanium turut dilengkapi ciri pintu ruang kargo bebas kendalian tangan dan kini turut menampilkan bumbung panoramik panel berkembar.
Keselesaan optimum di dalam
Perkara yang dipertingkatkan adalah Everest ini lebih senyap dalam ruang kabinnya, memudahkan perbualan antara penumpang di barisan kedua dan ketiga.
Ruang dalaman mengambil inspirasi daripada rumah moden dan menggunakan material yang mewah serta kemasan premium dengan lampu suasana.
Rasa keluasan ruang pada Everest generasi baharu ini disumbangkan lagi oleh panel instrumen yang lebar.
Tidak ketinggalan, ada 10 ruang untuk cawan keseluruhannya, termasuk di konsol tengah, perehat lengan serta di pinggir papan pemuka.
Ruang siku, kaki dan bahu juga lebih luas di depan dan belakang, serta untuk masuk ke barisan ketiga juga kini lebih senang kerana kerusi barisan kedua boleh dilaras lebih jauh ke depan berbanding sebelumnya.
Ford memberi keutamaan terhadap tempat duduk yang fleksibel untuk Everest generasi baharu ini, dengan lipatan kerusi kuasa elektrik untuk Titanium.
Kerusi barisan kedua dan ketiga telah direka untuk dilipat rata bagi membolehkan barangan panjang dibawa dengan selamat.
Bagi mengelakkan barangan terjatuh ke belakang ketika pintu kargo di buka, ada satu penghadang kecil dikenali sebagai di kawasan belakang kargo. Ada juga ruang kargo di bawah lantai untuk memudahkan penyusunan barangan kecil.
Everest generasi baharu juga menampilkan ciri brek parkir elektronik (dengan e-Shifter untuk Titanium), tiga soket 12V, kerusi balutan kulit hitam premium kini dengan larasan lapan arah untuk pemandu dan penumpang depan serta kemasan dalaman ebony.
Sebagai tambahan, Titanium mempunyai outlet kuasa 230V AC yang boleh menyalurkan 400W (naik daripada 150W).
Teknologi untuk pengguna
Sebagai tambahan kepada ruang dalaman yang diperhalusi, ia dilengkapi skrin sentuh menegak 12-inci untuk Titanium (10.1-inci bagi Trend dan Sport), dipadankan pula dengan sistem infotainmen Ford SYNC® 4A dengan sambungan tanpa wayar bagi Apple CarPlay™ dan Android Auto™ dan lapan pembesar suara.
Everest Titanium juga dilengkapi dengan kamera 360-darjah dengan paparan terbahagi sementara Trend dan Sport dilengkapi dengan kamera undur sebagai tambahan kepada sensor depan dan belakang.
Semua versi Ford Everest generasi baharu datang standard dengan panel instrumen digital 12-inci yang menggantikan kluster analog tradisional, empat slot pengecas USB (satu di cermin utama) dan pengecas tanpa wayar Qi.
Prestasi mengikut varian
Everest Trend dan Titanium
- Enjin 2.0L Bi-Turbo
- Transmisi automatik SelectShift 10-kelajuan
- Kuasa Maksimum 210 PS pada 3,500 rpm
- Tork maksimum 500 Nm pada 1,750-2,000 rpm.
- Sistem 4×4 elektronik separuh masa shift-on-the-fly (ESOF) dengan e-Locking Rear Differential
- Enam pilihan mod pemanduan: Normal, Eco, Tow/Haul, Slippery, Mud/Ruts dan Sands
Everest Sport
- Enjin 2.0L Single Turbo
- Transmisi automatik enam-kelajuan
- Kuasa maksimum 170 PS pad 3,500 rpm
- Tork maksimum 405 Nm pada 1,750-2,000 rpm
- Empat pilihan mod pemanduan: Normal, Eco, Tow/Haul dan Slippery
Aspek keselamatan meyakinkan dan teknologi bantuan pemandu
Ciri keselamatan aktif untuk semua varian Everest dilengkapi cagak Isofix, ABS, EBD, kawalan kestabilan elektronik (ESC) dengan kawalan cengkaman, bantuan brek kecemasan (EBA), kawalan menuruni bukit, bantuan mula mendaki, penghindar kenderaan daripada terbalik dan kawalan beban adaptif.
Bagi ciri bantuan pemandu pula, Everest generasi baharu Sport dan Trend datang lengkap dengan lampu isyarat berhenti kecemasan, bantuan belokan, kawalan melayar, sensor parkir depan dan belakang serta kamera undur.
Everest Titanium sebagai varian paling premium pula menerima penambahan ciri lain seperti sistem maklumat titik buta (BLIS), amaran dan bantuan penukaran lorong (LDW), bantuan lampu tinggi dan sistem pemantau tekanan tayar. Teknologi baharu dan yang dipertingkat termasuk:
- Kawalan melayar adaptif
- Active Park Assist 2.0
- Evasive steer assist
- Bantuan brek undur
- Amaran lintasan trafik di belakang
- Brek kecemasan autonomous
Harga dan ketersediaan
Harga bagi Ford Everest generasi terbaharu ini adalah seperti berikut. Semuanya harga atas jalan, tidak termasuk insurans dan untuk Semenanjung Malaysia sahaja.
- Everest Sport — dari RM263,888
- Everest Trend — dari RM281,888
- Everest Titanium — dari RM308,888
Pilihan warna terdiri daripada Absolute Black, Aluminium Metallic, Artic White, Equinox Bronze, Lightning Blue, Meteor Grey dan Sedona Orange.
Ford Everest generasi terbaharu ini datang dengan jaminan pengeluar selama tiga-tahun, atau hingga 100,000 km, yang mana dulu. Lanjutan jaminan selama dua-tahun atau 60,000 km, yang mana dulu, turut ditawarkan.