Perodua rasmi perkenal Ativa Hybrid, hanya 300 unit

8926

Perodua memulakan kajian kenderaan elektrik pertamanya serta mobiliti jangka panjang melalui kajian pasaran perkhidmatan membabitkan 300 pelanggan bagi model terhadnya, Ativa Hybrid.

Kajian itu terbahagi kepada dua membabitkan:



  1. Memahami tingkah laku pemanduan berkumpulan kenderaan hibrid di lokasi berpenduduk di negara ini iaitu di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
  2. Memahami penerimaan pengguna terhadap perkhidmatan “langganan” 5 tahun, yang ditawarkan oleh Perodua kepada pelanggan korporat di bawah “EZ MOBi”.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Sri Zainal Abidin Ahmad berkata, Perodua Ativa Hybrid adalah kenderaan terbaik untuk kami mendapatkan pandangan unik tentang tingkah laku rakyat Malaysia sebagai kumpulan terkawal.

“Data ini akan digunakan untuk mengenalpasti keperluan pelanggan kami apabila menggunakan kenderaan elektrik.

“Program perintis oleh Perodua ini juga akan membolehkan syarikat kereta kompak itu melihat tahap penerimaan pelanggan terhadap program langganan jangka panjang sebagai alternatif kepada pembelian dan penjualan traditional kereta,” katanya pada majlis Langganan Perodua Ativa Hybri.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Sri Lokman Hakim Ali, Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin dan Pengerusi Daihatsu, Sunao Matsubayashi.

Langganan melibatkan komitmen lima tahun bersama had perbatuan 100,000km dengan bayaran pendahuluan RM2,150 dan sewa bulanan RM500 serta penyelenggaraan, cukai jalan ditanggung oleh Perodua.

Lebih ramai pengguna dalam masa terdekat

Zainal Abidn berkata, walaupun pihaknya percaya bahawa pemilikan kenderaan masih lagi menjadi perniagaan utamanya namun, ada kemungkinan perniagaan langganan kenderaan itu diterima oleh lebih ramai pengguna dalam masa terdekat.

“Inilah yang kami maksudkan dengan ‘langganan’ – satu perkhidmatan yang  mana semua kewajipan lain untuk memiliki kenderaan seperti mengikuti jadual penyelenggaraan, membayar insurans kenderaan dan cukai jalan – semua akan diuruskan sepenuhnya oleh kami.

“Apa yang pelanggan perlu lakukan ialah membayar yuran langganan untuk menikmati pakej tersebut,” katanya.

Menurutnya, Perodua sememangnya mempunyai perkhidmatan langganan sedia ada yang diuruskan di bawah EZ MOBi, tetapi buat masa ini perkhidmatan langganan hanya untuk syarikat dan bukan individu. Perkhidmatan EZ MOBi Perodua mula diperkenalkan pada Januari 2021.

Spesifikasi Perodua Ativa Hybrid 

Perodua Ativa Hybrid menggunakan sistem “hibrid bersiri” di mana set motor elektrik menggerakkan roda kenderaan, manakala enjin bertindak sebagai penjana kuasa untuk mengecas enjin.

Model rebadge Daihatsu Rocky Hybrid itu menggunakan enjin 1.2L (WA-VEX) yang menghasilkan kuasa 106PS dan tork 170Nm. Sebagai perbandingan enjin 1.0T Ativa sedia mengjana kuasa 98PS dan tork 140Nm. 

Daripada segi penampilan luaran begitu mirip dengan Ativa ICE cuma perbezaan ketara adalah pada bahagian gril dan bampar depan serta belakang.

Selain itu warna cermin sisi adalah sama dengan saiz badan cuma sedikit kecil dan di bahagian kiri didatangkan dengan cermin tambahan.

Model hibrid ditawarkan dengan rim dua rona warna bersaiz 17-inci yang diambil daripada Rocky Hybrid. Ia kemudian dipadankan dengan tayar Dunlop Enasave yang lebih kecil bersaiz 195/60 manakala Ativa sedia ada lebih besar (206/60).

Ativa hibrid ditawarkan dengan kit baikpulih tayar bukannya tayar simpanan seperti mana Ativa ICE. Ruang dalaman pula menggunakan kerusi balutan fabrik dan tersedia brek parkir elektrik dengan auto brake hold.

Sementara punat penghidup ditawarkan dengan kemasan biru. Daihatsu menampilkan panel kawalan pendingin hawa tersendiri pada varian hibrid (bersama fungsi auto tetapi tanpa butang memori signatur P2).

Tidak ketinggalan, model hibrid turut menampilkan fungsi Pedal Pintar yang mana hanya menggunakan satu pedal ketika memandu.

Sistem Bersiri Perodua Ativa Hybrid mampu mencapai jarak sejauh 31.3km seliter (berdasarkan ujian Kitaran Pemanduan Malaysia). Menurut Perodua dengan harga RON 95 terkini, kos minyak dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang (358km) hanya serendah RM23. 

Galeri gambar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here