Pernahkah anda dengar tentang MyKar?. Syarikat start-up Malaysia, EV Innovations ini pernah muncul dengan dua buah model prototaip MyKar sebelum ini.
Terkini, syarikat tempatan berkenaan tampil dengan model prototaip kenderaan elektrik 3.0 menggunakan Perodua Axia.
“Axia elektrik ini kami mula dari awal yang mana perlukan proses kustom yang mengambil masa selama dua bulan.
”Ada keperluan komponen yang perlu dikustom, bateri kita perlu beli biasanya mengambil masa sebulan untuk pemasangan,” kata Ketua EV Innovations, Ahmad Zaki Yaacob ketika ditemui di EXPO SMART NATION dan EVM (2022).
Tambahnya, bagi menghasilkan Axia elektrik berkenaan komponen seperti enjin pembakaran dalaman (ICE), transmisi, tangki minyak dan ekzos dikeluarkan lalu digantikan dengan motor, bateri dan motor elektrik.
“Komponen yang perlu dikustom adalah ruangan bateri dan fabrikasi daripada segi meletakkan motor pada gandar roda yang mengambil masa sekitar dua hingga tiga minggu,” jelasnya kepada Motoqar.
Data aliran motor elektrik yang dikumpul akan dipaparkan pada skrin infotainmen yang terletak di tengah papan pemuka dalam bentuk telematik. Antara informasi yang dipamerkan adalah suhu motor, aliran motor elektrik dan voltan bateri.
Berikut spesifikasi MyKar Axia Elektrik:
- Menggunakan bateri berkapasiti 23kwh yang menawarkan jarak perjalanan sehingga 220km sekali cas.
- Menggunakan pengecasan Type 2 6kW yang mengambil masa empat jam bagi isian bateri penuh. Ruangan pengecas diletakkan pada bahagian penutup isi minyak Axia.
- Axia Electrik pacuan roda belakang ini menggunakan dua hab motor 12kW setiap satu yang diletakkan di kiri dan kanan seperti model MyKar sebelumnya. Ketika memecut ia boleh digandakan hingga 48kW (60hp). Tetapi, kawalan motor dan perisian adalah berbeza.
- Berdasarkan ujian yang dijalankan pecutan maksimum mampu mencapai 120kmj dan pecutan 0-100kmj dilakukan dalam tempoh 11 saat.
- Tombol gear juga diubah menggunakan versi bulat menerusi gear R,N,D.
-
Pemasangan sistem pacuan elektrik dan elektrifikasi menyumbang kepada pertambahan berat sebanyak 70kg. Manakala rim bersaiz 14-inci.
-
Sementara itu, peralatan lain seperti kerusi, cermin pandang belakang kekal sama.
Menurut Zaki pihaknya berharap dapat menjalin kerjasama strategik dengan pengeluar kenderaan pada masa depan bagi membangunkan kenderaan elektrik.
GALERI
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar