Polis nafi menahan van putih yang didakwa digunakan penjenayah untuk kegiatan menculik kanak-kanak di sebuah perumahan, Raub seperti yang tular di laman sosial dan aplikasi WhatsApp sejak Isnin.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata gambar van putih yang berada di pekarangan Balai Polis Dong yang tular itu sebenarnya kenderaan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Raub.
“Van tersebut digunakan pegawai dan anggota yang menjalankan tugas Ops Tapis di depan balai polis itu pada 26 September lalu. Bukannya kenderaan penculik yang dikatakan ditahan pihak berkuasa seperti yang didakwa.
“Beberapa keping gambar van putih yang dirakam berlegar-legar di kawasan Perumahan Murah Dong yang ditularkan sebelum itu juga bukan digunakan penjenayah untuk menculik kanak-kanak.
“Hasil siasatan van jenis Era Komuter itu didaftarkan atas nama sebuah syarikat beralamat di Taman Kemajuan, Simpang Kallang di Raub,” katanya.
Hasil siasatan, van yang dipandu seorang lelaki itu datang ke kawasan perumahan tersebut untuk mengambil lapan peserta rombongan ke Kuala Lumpur pada kira-kira jam 8.30 pagi (24 September).
Tambahnya, siasatan turut mendapati tiada jenayah culik kanak-kanak berlaku dalam kawasan pentadbiran Balai Polis Dong seperti dakwaan.
Mohd Shahril meminta orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan sebarang hebahan yang tidak benar.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar