Baru guna 4-bulan, OCH Proton Exora pecah

6593
Seorang pengguna Facebook Huda Nasir berkongsi rasa kesal apabila MPV Proton yang mencapai perbatuan 4,000km mengalami kerosakkan.
 
“Kejadian pagi ini (semalam). OCH pecah, nasib baik dah sampai tempat kerja. Mileage baru 4k..baru guna 4bulan…naik towing ke SC.
 
Nasib baik spare part ada..SC pun dekat…saya saje nak share pengalaman disini…saya off komen bagi mengelakkan -ve statement yang melarat-larat,” tulisnya dalam grup Facebook EOCM (EXORA OWNERS CLUB MALAYSIA).
 
Isu tentang hos penyejuk minyak (OCH) bukanlah baharu bagi kenderaan Proton yang mana kerosakkan komponen berkenaan melibatkan model yang menggunakan enjin CFE. 
 
Namun, pemilik Proton Exora paling banyak membuat aduan berkaitan kerosakkan komponen berkenaan. Mendengar keluhan pelanggan, Proton memperkenalkan kempen servis dan menukar status hos yang perlu diganti setiap 40,000km. 
 

Selain itu, memperkenalkan hos separuh besi pada 2018. Ini memanjangkan hayat hos itu kepada 80,000km dan membolehkan ia lebih bertahan pada suhu dan tekanan yang tinggi.

Bagaimanapun, langkah berkenaan masih belum dapat menyelesaikan masalah OCH sepenuhnya apabila dalam hantaran berkenaan masih ramai pemilik Exora model 2022 berdepan masalah sama.



Menurut Zaki Khadis, OCH Exora yang berusia dua tahun pecah minggu lalu dengan odometer 25,000km.

“Kita sama bos, pecah masa mileage 4k, kereta keluar bulan 5, bulan 7 pecah..dua bulan je..biasa model separuh getah dan separuh besi ni orang SC cakap..sekarang pakai full getah dah,” kata Aminputra Zoela. 

Kebanyakan pemilik berkongsi agar melakukan kustom pada komponen tersebut bagi mengelak kerosakkan berulang seperti mana dilakukan pemilik lama.

Namun, kami tidak menggalakkan pemilik baharu melakukan modifikasi pada komponen tersebut bimbang kehilangan waranti yang ditawarkan pengeluar.

Wanita berkenaan bernasib baik kerana pusat servis Proton berkenaan memiliki alat ganti dan tidak perlu menunggu lama seperti mana berlaku sebelum ini pada pemilik Exora.

Ini salah satu petanda bahawa pihak Proton menyelesaikan isu alat ganti yang dihadapi sejak awal tahun dan menjelaskan masalah berkenaan dapat diatasi menjelang Ogos. 

Tetapi wanita berkenaan tidak berkongsi punca kepada kerosakkan komponen tersebut dan rata-rata pemilik kecewa walaupun 13 tahun di pasaran isu OCH Exora masih berlaku dalam kalangan pengguna.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 
 
 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here