Dua remaja lelaki maut ketika berlumba haram selepas motosikal mereka bergesel di KM111.3, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menghala Selatan di Sungai Petani, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata kejadian jam 1 pagi itu, mangsa berusia 16 dan 19 tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
“Hasil siasatan polis nahas membabitkan empat motosikal yang mana semua mereka berlumba dari Sungai Petani menghala ke Butterworth dengan laju sebelum hilang kawalan dan bergesel sesama sendiri.
“Akibat pergeselan itu motosikal ditunggang mangsa terbabas di tengah lebuh raya dan dua daripada mereka meninggal dunia di lokasi,” katanya.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dua lagi mangsa berusia 18 dan 19 tahun masing-masing parah dan cedera ringan dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).