MAM tidak pernah lulus perlumbaan drag di Litar Gong Badak

20561

Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) menyatakan tidak pernah memberi sebarang kelulusan bagi acara lumba drag di Litar Gong Badak.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan di laman Facebook, pihak MAM hanya membenarkan acara Petronas Malaysia CubPrix dianjurkan di kitar berkenaan dengan keperluan keselamatan tambahan bagi tahun 2022. 



“Kami tidak pernah memberi sebarang kelulusan untuk lumba drag di litar Gong Badak. Pihak Kementerian Belia & Sukan (KBS) dan MAM sudah mengadakan perbincangan sebelum ini berkaitan spesifikasi kemudahan perlumbaan drag yang diluluskan oleh pihak FIA dan FIM,” jelasnya.

Pihak MAM meluahkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah buat keluarga Muhamad Hafez Jamal Jamaludin atau Apeh Jamal atas tragedi yang berlaku baru-baru ini.

“Oleh yang demikian, mana-mana pihak yang ingin menyertai sukan permotoran sama ada penganjur, pemilik litar atau pelumba wajib mematuhi segala kaedah, peraturan dan protokol ketat yang ditetapkan.

“Ini bagi memastikan tahap keselamatan yang tertinggi, meningkatkan persaingan dan akhirnya memberi peluang kepada pelumba dan penonton untuk menikmati acara perlumbaan tersebut,” katanya. 

Bagaimanapun, kelulusan dan pengawalan selia mana-mana acara adalah tertakluk kepada peraturan-peraturan dan kaedah-kaedah pihak FIA, FIM dan Peraturan-Peraturan Pertandingan Kebangsaan (NCR) yang ditetapkan dan dipantau atau harus dipatuhi tanpa kompromi.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here