Pandu uji: Hyundai Tucson 1.6 Turbo

4313

Hyundai Tucson bukanlah baharu di negara ini. Generasi terkini pun sudah melalui penambahbaikan dan beberapa pembaharuan kecil.

Namun harus diakui, tidak banyak kelibatnya kelihatan di jalanraya Malaysia dan kami jamin tidak ramai yang menyedari akan facelift terbaharu untuk 2019 ini.



Tahukah anda, Hyundai Tucson mempunyai varian yang sebenarnya merupakan antara model petrol paling berkuasa dalam kelasnya? Ya, dengan 175hp dan 265Nm tork, cukup berupaya dan setanding dengan Honda CR-V 1.5 VTEC Turbo dan Proton X70 kegemaran anda.

Perkenalkan Hyundai Tucson 1.6 Turbo; SUV berkuasa yang “suam-suam kuku”.

Luaran

Versi facelift tahun ini memberikan Tucson muka depan dan belakang baharu. Ia kini mendapat lampu depan LED sepenuhnya dengan Low Beam Assist-Static, gril baharu dan lampu kabus LED dengan DRL.

Lampu belakang pula adalah jenis LED rekaan baharu yang memberikan Tucson gaya lebih segar dan moden. Rim Tucson juga merupakan rekaan baharu, dengan saiz 17-inci.

Keseluruhan rekaan Tucson ini nampak bersahaja namun tetap menarik. Ia tidak terlalu gah atau menunjuk mengenai siapa dirinya. Ibarat sebuah “sleeper”, ia kekal macho dan steady namun jika diacah, akan menunjukkan taring dan kemampuan sebenarnya.

Tidak hairanlah Hyundai Tucson ini cukup laris di benua lain seperti Eropah, Amerika Utara dan Persekutuan Rusia.

Dalaman

Seperti di luaran, dalam kabin Tucson ini bersahaja namun tetap diberi perincian yang baik dan dibina dari bahan yang bermutu.

Ia juga menerima ciri kelengkapan terkini seperti panel meter dengan skrin maklumat 4.2-inci berwarna, sistem penghawa dingin dwi-zon automatik dan sistem audio dengan skrin “terapung” 7-inci. Sistem ini menyokong sambungan USB, Bluetooth, Android Auto dan Apple CarPlay.

Tempat duduk pemandu dan belakang Hyundai Tucson ini cukup luas dan selesa. Cuma pada tempat duduk pemandu terasa kurang sokongan apabila kereta dipandu lebih laju di selekoh. Tucson ini sebenarnya dibina untuk keselesaan, cuma mempunyai aspek pemanduan yang agak sporti.

Enjin dan prestasi

Tahap sporti Hyundai Tucson ini menyamai sedan sport. Mana tidaknya, enjin 1.6-liter TGDI serta transmisi DCT 7-kelajuan padanya adalah unit yang sama pada Elantra Sport.

Perkongsian sebegini biasa dilakukan. Sama seperti Honda yang menggunakan powertrain sama untuk CR-V dan Civic, serta Volkswagen yang menggunakan powertrain sama bagi Tiguan dan Golf TSI. Cuma mungkin transmisi untuk SUV dan sedan/hatchback mempunyai talaan berbeza.

Enjin 1.6-liter Tucson menyampaikan kuasa dengan cukup lancar dan linear. Tiada rasa mengejut walaupun torknya agak tinggi. Kesemua 265Nm dapat dirasai dengan mendatar pada 1,500 hingga 4,500 rpm.

Selain memberi pemanduan lancar, ia juga memberikan penjimatan minyak yang baik. Kami berani jamin, Tucson ini boleh memperoleh 600km dengan mudah dari satu isian penuh 60 liter. Jika dicuba lebih beriya, anda boleh dapat jarak jauh lebih baik.

Kami telah memandu Tucson di lebuhraya, jalan bandaraya dan naik ke Genting Highlands. Tiada rungutan langsung dari aspek penghantaran kuasa dan kecekapan transmisi. DCT pada Tucson ini boleh dikatakan antara terbaik dalam kelasnya, setanding dengan automatik pada CX-5 dan DSG pada Tiguan.

Mod pemanduan boleh diubah antara Eco, Normal dan Sport. Dalam Sport, bukan sahaja transmisi menukar gear dengan lebih sporti dan cepat, malah tindak balas pedal minyak juga lebih tajam dan responsif. Hairan juga, penulis rasa seronok untuk menggunakan tetapan Sport walaupun meluncur pada 110-130 km/j di lebuhraya.

Ini kerana agak mudah untuk melaras kelajuan apabila ada kenderaan yang menukar lorong tanpa memeriksa cermin sisi dengan betul dan menyebabkan kereta di lorong kanan terpaksa membrek lebih dari sepatutnya. Hanya berikan sedikit daya yang tepat pada pendikit minyak, maka kereta akan cepat memberi tindakbalas.

Dan sudah tentu, Tucson ini juga dapat meluncur pada kelajuan setinggi 160km/j sambil mengekalkan ketenangan dan keselesaannya. Benar-benar terasa seperti SUV lebih mewah dan penumpang belakang sukar untuk menyedari kelajuan tinggi yang anda pandu.

Cuma talaan stereng elektriknya yang tidak begitu konsisten, menyebabkan sedikit rasa “terhuyung-hayang” ketika di selekoh dan ingin melakukan pembetulan. Ketika memecut di jalan lurus juga boleh terasa sifat kurang konsisten ini.

Tapi kami faham, sistem sterengnya direka agar dapat kekal pada sudutnya ketika memecut untuk menghilangkan “torque-steer”. Jadi untuk kebanyakan pemandu, sifat ini tidak memberi isu yang besar.

Kata akhir

Boleh dikatakan jika anda sedang mencari sebuah SUV segmen C dan belum pernah mencuba Tucson ini, cubalah ke bilik pameran untuk pandu uji. Nescaya persepsi anda terhadap Hyundai boleh berubah.

Apa salahnya pandu uji semua calon sebelum buat keputusan akhir, bukan?

Bagi kami di Motoqar, kami sukakan Tucson ini bukan sahaja ia cekap, laju dan menjimatkan, malah kami tidak berapa gemar kenderaan yang terlalu umum atau mainstream. Hyundai Tucson sememangnya satu alternatif yang sangat menarik.

 

Spesifikasi Hyundai Tucson 1.6 Turbo

Harga: RM137,488.00

Enjin: 1,591 cc, turbo dengan suntikan terus bahan api

Kuasa maksima: 175 hp @ 5,500 rpm

Tork maksima: 265 Nm @ 1,500-4,500 rpm

Transmisi: Automatik dwi-klac 7-kelajuan

Sistem keselamatan: 6 beg udara, Hill-start Assist Control (HAC), Downhill Brake Control (DBC), Vehicle Stability Management (VSM), Parking Distance Warning

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here