Proton memperkenalkan X70 1.5L TGDi MC1 sekitar Jun lalu dan pihak media diberi kesempatan memandu uji SUV segmen-C berkenaan ke Desaru, Johor dari Pusat Kecemerlangan Proton (COE), Shah Alam.
Proton X70 facelift kini menggunakan enjin 1.5 liter TGDi yang menghasilkan kuasa 174hp dan tork 255Nm.
Bagaimanapun enjin 1.8 TGDi dengan kuasa 181hp dan tork 300Nm masih ditawarkan pada varian tertinggi. Kedua-dua enjin dipadankan dengan transmisi dual klac 7DCT.
Tentu anda terfikir, OK-ke enjin kecil digunakan pada badan SUV lebih besar?. Bagi perjalanan sejauh 500km berkenaan ini pandangan kami tentang Proton X70 MC1.
- Perbezaan kuasa antara enjin 1.5 liter dan 1.8 liter hanyalah 7hp cuma angka tork enjin 1.5 liter lebih rendah 45Nm.
- Cukupkah kuasa enjin yang disalurkan?, sebenarnya dalam liga SUV segmen-C output Proton X70 berada sedikit di bawah Honda CRV 1.5 TC tetapi di atas pesaingnya yang lain.
- Kehadiran tork yang lebih awal sekitar 1,500rpm sebenarnya banyak membantu pemandu dalam mendapatkan kuasa tolakkan ketika menambah kelajuan terutamanya pada awal pecutan mahupun saat melahu.
- Ketika pemanduan di laluan lebuhraya, pikap dan respons enjin adalah OK kerana memandu santai.
- Daripada segi pecutan tidaklah banyak yang ingin dirungutkan kerana pada kelajuan 80 hingga 110kmj anda tidak akan terasa gejala legahan kuasa. Tetapi selepas kelajuan 120kmj dan ingin ditingkatkan kepada 160kmj enjin sedikit mengambil masa dan perlu bekerja keras.
- Isu gegaran enjin 3-silinder pula tidak dirasai, jika ada hanyalah sedikit. Tetapi buat mereka yang jarang sekali memandu uji kenderaan anda tidak akan terkesan mahupun sedar gejala gegaran berkenaan. Cuma selepas tiga hingga empat tahun tahap gegaran kenderaan berkenaan tidak diketahui…
- Sementara, NVH X70 ini tiada berbeza dengan model 1.8 liter yang mana ketika pemanduan 0-100kmj ‘just nice’.
- Kelebihan menggunakan enjin kecil ini adalah menawarkan penjimatan minyak lebih baik.
- Cuma sayangnya talaan suspensi dan pengendalian stereng sedikit jauh dengan reputasi Proton sebelum ini yang mana kurang tajam dan goyah di selekoh.
Untuk makluman anda Proton X70 MC1 ini hanya melalui perubahan minor merangkumi:
- Gril radiator depan dan perumah lampu kabus hitam berkilat
- Rekaan baharu rim aloi 18 dan 19 inci
- Cermin sisi warna hitam
- Diffuser belakang berwarna hitam
- Kemasan pintu but hitam berkilat
- Garisan bumbung berwarna hitam
- Bumbung suria hitam
Selepas tiga tahun pemilikan X70 adakah masih berbaloi?, menurut kami masih OK yang mana mampu memberikan pesaingan menerusi pengendalian lebih selesa dengan julat harga berpatutan. Tetapi jika anda inginkan SUV yang lincah X70 bukanlah pilihan….