Isuzu Malaysia memperkenalkan cawangan pertama yang menampilkan rekaan baru dengan pembukaan rasmi Autoexec Corporation 3S Centre di Kuala Lumpur.
Dengan imej yang lebih menonjol serta ceria melalui adanya menara logo tersendiri, rekaan cawangan baru ini menawarkan sebuah suasana yang lebih unik untuk apa saja keperluan berkaitan Isuzu kepada pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe berkata, rekaan baru idistu asarkan untuk menyerlahkan lagi kehadiran Isuzu dengan menawarkan sebuah suasana dan persekitaran yang lebih hangat kepada semua pelanggan serta pengunjung.
Menurutnya, cawangan itu menampilkan imej jenama yang kuat untuk mencerminkan perubahan wajah depan perniagaan Isuzu di negara ini.
“Elemen rekaan moden dan kemudahan yang dipertingkatkan dihadirkan bagi memastikan pelanggan bukan sekadar membeli barisan produk yang bagus, tetapi turut menerima layanan jualan dan lepas jualan yang cemerlang di bawah satu bumbung,” katanya.
Cawangan Isuzu selepas ini akan dibezakan dengan penggunaan logo Isuzu baru yang ditampilkan di depan bangunan serta di menara logo khas di gerbang masuk ke premis.
Pusat 3S, yang khususnya menawarkan penjagaan lepas jualan untuk trak juga menampilkan ruang yang cukup luas untuk memudahkan parkir serta pengendalian keluar-masuk.
Di dalam, cawangan baru ini juga hadir dengan penampilan lebih berkarismatik dengan ciri khusus sebagai panduan mudah untuk pengunjung mengetahui keseluruhan tataletak di premis berkenaan.
Antara ciri khas yang dimaksudkan adalah:
- Ruang menyambut tetamu yang mengalu-alukan
- Pencahayaan suasana yang nyaman
- Sudut cenderahati untuk peminat Isuzu
- Panel maklumat digital mesra persekitaran
- Ruang penyerahan khusus untuk trak pikap
- Ruang pameran luas dan moden termasuk ruang pamer utama
Isuzu Malaysia mempunyai 51 cawangan di seluruh negara, proses menaik taraf dengan rekaan baru dilakukan secara berperingkat bermula tahun ini sehingga 2024.
Sementara itu, Pusat 3S terbaru Autoexec Corporation terletak di atas kawasan dengan keluasan 1,400 meter persegi di Jalan Jinjang Permai di pinggir Kuala Lumpur dan menawarkan barisan lengkap produk serta servis Isuzu, dari trak pikap Isuzu D-Max hinggalah kepada lori tugasan ringan, medium, berat dan juga penggerak utama.
Bilik pamerannya menampilkan ruang berpendingin di mana trak pikap dipamerkan serta lori juga ditunjukkan di bawah kawasan berbumbung untuk keselesaan semua.
Cawangan itu juga menempatkan ruang servis luas yang boleh menampung sehingga empat kenderaan tugasan ringan serta dua trak tugasan medium dalam satu masa.
Pelanggan yang membawa kenderaan mereka untuk pemeriksaan lepas jualan boleh menikmati hidangan ringan yang disediakan di ruang menunggu yang sangat selesa sementara juruteknik terlatih melayani keperluan kenderaan Isuzu mereka.