Subaru memperkenalkan model SUV kompak pertamanya di Jepun dan sekali imbas penampilannya mirip dengan model sedia ada di negara matahari terbit. Subaru juga secara terangan menjelaskan Rex adalah produk OEM yang dibekalkan oleh Daihatsu.
Subaru Rex merupakan model rebadge Daihatsu Rocky (Perodua Ativa) iaitu adik kepada Toyota Raize. Tiada perbezaan major dilakukan pada rekaan luaran dan dalaman yang mana perubahan hanyalah logo Daihatsu digantikan dengan Subaru.
Nama Rex sudah lama digunakan bermula 1972 yang merupakan sebuah kei-car pacuan roda belakang. Kemudian ia digantikan dengan generasi kedua menggunakan pacuan roda depan pada 1981.
Namun, generasi ketiga hanya bertahan sehingga 1992 dan nama Rex berkubur sebelum kembali semula tahun ini.
Pasaran Jepun menerima dua varian Subaru Rex iaitu G dan Z yang djual pada harga bermula dari JPY 1.82 hingga JPY 2.17 juta (RM59,444 to RM70,908).
SUV pacuan roda depan berkenaan menggunakan enjin 1.2 liter 3-silinder petrol yang menghasilkan kuasa 87.8hp dan tork 113Nm bersama transmisi CVT.
Rex dipadankan dengan rim bersaiz 16 dan 17-inci, lampu utama dan kabus LED, brek tangan manual atau brek parkir elektrik, kluster instrumen digital 7-inci serta skrin infotainmen 9-inci dengan sambungan Android Auto dan Apple Carplay.
Sistem bantuan keselamatan dan pemandu adalah sebahagian daripada Smart Assist namun Subaru memilih menggunakan penjenamaan EyeSightnya sendiri.
Antara ciri keselamatan yang ditawarkan termasuklah pemantauan titik buta, brek kecemasan autonomi, pengecaman tanda trafik, bantuan lampu tinggi, kawalan pelayaran adaptif, bantuan kekal lorong, lane departure warning, road departure warning dan amaran lalu lintas lintas belakang di samping bantuan parkir serta monitor pandangan panorama.