Mahkamah Sesyen Kota Bharu membenarkan pampasan sejumlah RM652,000 kepada Tengku Muhamad Khazi Hakimi Ku Hussin, 34 selepas kehilangan kaki dalam satu kemalangan tiga tahun lalu.
Pada kejadian 1 Disember 2019 di 53KM Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Machang itu, mangsa terjatuh ke dalam lubang jalan raya yang bertakung air.
Peguambela yang mewakilinya Wahab Che Kob dan Nor Asniza Husin berkata kebenaran pampasan itu susulan tuntutan dibuat terhadap Roadcare Malaysia Sdn Bhd dan kerajaan Malaysia.
Menurutnya di awal perbicaraan pihak Roadcare menafikan dan menyangkal kewujudan lubang pada jalan raya berkenaan.
“Namun mahkamah menyatakan berdasarkan bukti-bukti dan keterangan di pihak plaintif mendapati kemalangan berlaku disebabkan lubang yang dilimpahi air akibat kecuaian Roadcare sebagai kontraktor penyelenggara jalan kepada kerajaan Malaysia sebagai defendan-defendan,” katanya.
Keputusan itu dibuat oleh hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli manakala defendan diwakili peguam S Siva Shanker dan Asmah Che Wan.