Model yang anda lihat untuk dijual di Marktplaats, Netherland ini bukanlah Lamborghini Reventon.
Di bawah penampilan badan itu sebenarnya Toyota Supra (1990) yang diubahsuai menjadi sebuah model ikonik Lamborghini yang dikeluarkan pada 2007 hingga 2009.
Supra yang sangat pelik itu dijual pada harga EUR19,950 (RM92,599) yang mana agak mahal sebenarnya bagi sebuah Supra. Mungkin kerana pemilik telah berhabis banyak wang dan masa untuk menghasilkan transformasi sedemikian.
Pertama ialah cat. Sama seperti Reventon sebenar, Supra ini mempunyai kemasan kelabu kusam walaupun kebarangkalian tinggi pemilik sebenarnya tidak menggunakan cat yang sama yang digunakan Lamborghini.
Bahagian luar dihiasi dengan kit badan acah Reventon. Di depan adalah bampar baharu yang agresif dengan salur masuk udara yang besar dan lampu utama bersudut. Supra juga mempunyai beberapa salur udara kecil pada hud.
Terdapat satu set rim dua tona warna yang kemudian dilengkapkan dengan panel dan skirting baharu di bahagian sisi.
Bahagian belakang Toyota sangat pelik kerana tiada enjin di belakang kabin seperti Lamborghini tetapi itu tidak menghalang pembina daripada memanjangkan bahagian belakang dan mencipta penutup enjin palsu.
Jika diperhatikan pada kenderaan berkenaan kemungkinan tiada pengubahsuaian mekanikal dilakukan yang mana kereta itu masih menggunakan enjin 3.0 liter enam silinder berkuasa 238hp bersama transmisi manual.