Ramai yang tidak tahu ada haiwan yang dibenarkan menaiki pesawat, misalnya dua ekor anjing Corgi ini yang mengembara bersama pemiliknya dari San Francisco ke Singapura menerusi Singapore Airlines (SIA).
Anjing comel kaki pendek berkenaan duduk dalam kelas perniagaan bahkan menerima layanan selebriti daripada kru kabin. Kisah itu dikongsi di Facebook pemiliknya, Tommy Suriwong.
“Kami berpindah dari Bay Area ke Thailand dan terpaksa membawa anjing kami bagi perjalanan sehala ke Thailand bersama kami,” tulisnya.
Perjalanan panjang itu termasuk penerbangan dari San Francisco ke Singapura selama kira-kira 17 jam. Kedua-dua anjing itu duduk dengan selesa bersama pemiliknya.
Suriwong berkata dua ekor anjing itu berkelakuan baik dan kebanyakan masa penerbangan kedua-duanya hanya tidur dan dipeluk.
SOKONGAN EMOSI
Walaupun haiwan peliharaan biasanya tidak dibenarkan di dalam kabin penerbangan, namun Mindy dan Peanut mendapat pengecualian kerana ia merupakan haiwan bantuan dan anjing sokongan emosi.
Menurut laman web SIA, anjing yang lebih kecil boleh duduk di atas riba pemilik manakala anjing yang lebih besar mestilah duduk di lantai berdepan kerusi pemilik.
Bahan penyerap lembapan juga mesti diletakkan di bawah anjing pada setiap masa. Dalam kes Mindy dan Peanut, pemilik bertanggungjawab mengemas pad kencing, beg najis dan kain lap bayi sepanjang perjalanan.
Bagi bersiap sedia untuk urusan tersebut pemilik menyesuaikan jadual makan dan minum anjing mereka sebulan lebih awal.
Untuk membiasakan mereka dengan keadaan penerbangan, pasangan itu menyuruh anjing itu mendengar bunyi pesawat di YouTube beberapa malam sebelum penerbangan.
Mereka juga membawa anjing Corgi itu ke lapangan terbang beberapa minggu sebelum penerbangan untuk bertemu kru.
“Kami menetapkan masanya dengan sempurna supaya mereka tertidur ketika kami hendak berlepas dan mendarat,” jelasnya.
Sementara itu, SIA mengesahkan Corgi adalah anjing sokongan emosi. Tempat duduk tambahan tidak diperlukan untuk anjing berkenaan.
Jurucakap SIA berkata anjing sokongan emosi mungkin melakukan perjalanan bersama pelanggan dan selagi mematuhi syarat syarikat penerbangan dan peraturan negara berlepas, transit dan destinasi.