Seorang mekanik maut selepas dihempap sebuah trak pikap yang dipandunya dalam kejadian di ladang kelapa sawit di Felda Chiku 2 di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa, Noor Asmawi Mat @ Mohd. Nor, 37, dari Felda Chiku 2 maut di tempat kejadian selepas cedera parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai sedang mencuba sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux yang dibaikinya di kawasan ladang kelapa sawit itu.
Katanya, semasa tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan semasa menuruni bukit dan terbalik ke arah kanan jalan.
“Insiden itu menyebabkan mangsa terjatuh dan dihempap trak pikap tersebut.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Gua Musang di sini untuk dibedah siasat,” katanya.
Tambah Choon Foo, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.