Utama Berita Automotif Nahas Teluk Intan: Mangsa kedua meninggal dunia

Nahas Teluk Intan: Mangsa kedua meninggal dunia

861
Seorang lagi mangsa kemalangan dua buah kereta di KM19, Jalan Bidor – Teluk Intan awal pagi ini, meninggal dunia ketika dirawat di wad kecemasan Hospital Teluk Intan.
 
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa adalah seorang lelaki berusia 20 tahun yang memandu kereta jenis Proton Iswara.
 
Menurutnya, kemalangan kira-kira jam 2.53 pagi itu menyebabkan pemandu kereta jenis Perodua Viva yang berusia 24 tahun, maut di lokasi kejadian.
 
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa yang memandu Produa Viva telah masuk ke laluan sah kereta Proton Iswara, sebelum berlaku pertembungan di antara kedua-dua kenderaan tersebut,” katanya.
 
Menurutnya, polis menahan kenderaan berkenaan untuk dihantar pemeriksaan Puspakom dan cuba mengesan saksi bebas di lokasi kejadian.
 
Katanya, siasatan masih diteruskan bagi mengenalpasti punca sebenar kemalangan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
 
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan yang melibatkan dua buah kereta bertembung di Jalan Bidor, dekat sini, awal pagi ini.
 
Kerja-kerja menyelamat dilakukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan dengan dibantu anggota dari BBP Bidor. Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Mohd Sharif tamat jam 4.51 pagi.


APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here