Ride RX-Z sampai ke Chiang Mai, bawa diri putus tunang

1285

Pengalaman putus tunang awal tahun ini bukan alasan untuk T. Premraj terus berduka sebaliknya pemuda itu mencari ketenangan dan ‘membawa diri’ ke Chiang Mai, Thailand dengan menunggang motosikal Yamaha RX-Z kesayangannya.

Mesra disapa Prem, dia tidak keseorangan sebaliknya mengembara bersama 20 rakan lama dan baru dikenalinya.



Kisah Prem, 26, mendapat perhatian selepas memuat naik video perjalanannya di TikTok dengan rata-rata netizen memuji kesungguhan dan keberanian pemuda itu menunggang motosikal hingga ke luar negara.

Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, dia dan rakannya memulakan misi berkenaan pada 8 Disember lalu.

Matlamatnya adalah mengembara sambil melihat pemandangan dan meneroka destinasi menarik sepanjang laluan di tanah air ke Thailand.

“Saya baru putus tunang awal tahun ini jadi cuba lupakan kesedihan dan cari ketenangan dengan cara sebegini.

“Persediaan untuk misi itu dilakukan sejak Mac lalu dan perancangan asalnya adalah mengajak rakan Melayu, Cina dan India untuk turut serta sebagai tanda satu Malaysia.

“Bagaimanapun, hanya rakan Melayu dan India saja dapat turut serta dengan 11 daripadanya menunggang Yamaha RX-Z manakala selebihnya motosikal model lain,” katanya.

Menurut Prem, dia pernah menunggang motosikal ke Phuket, Thailand pada 2019 iaitu sebelum penutupan sempadan negara akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, pengalaman misi kali ini lebih mencabar walaupun menyeronokkan.

“Cabarannya adalah menunggang motosikal di beberapa laluan yang agak teruk dan berbahaya.

“Jadi, kami perlu berhati-hati dan tidak boleh menunggang motosikal dengan laju kerana banyak juga lori menggunakan laluan sama.

“Selain itu, bukan semua destinasi berhampiran hotel jadi ada ketika saya dan rakan perlu bermalam di tepi jalan namun banyak pengalaman menarik daripada pahit, salah satunya berpeluang melawat kedutaan Malaysia di Laos,” katanya. 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here