Sekiranya anda memiliki saman tertunggak, adakah boleh memperbaharui cukai jualan dan insurans.
Ini antara persoalan yang sering timbul dalam kalangan pemilik kenderaan apabila tarikh cukai jualan sudah luput.
Jawapannya anda tidak boleh memperbaharui insurans mahupun cukai jualan sekiranya tidak menyelesaikan saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Tetapi perlu diketahui kategori saman yang anda terima sama ada disenarai hitam atau sebaliknya.
SAMAN SENARAI HITAM
Saman ini akan menyekat anda daripada memperbaharui cukai jualan dan insurans, kerana rekod kesalahan tersenarai di dalam sistem JPJ. Saman tidak boleh dikompaun ini selalunya diterima ketika melalui sekatan jalan atau ditahan di bahu jalan.
Contoh kesalahan adalah:
- Tiada lesen memandu atau lesen memandu tamat tempoh
- Cukai jalan dan insurans sudah tamat tempoh
- Tidak menggunakan helmet dan tali pinggang keledar
Sekiranya anda menerima surat saman POL.257 atau Saman JPJ (P) 22, jangan melengahkan masa lebih afdal selesaikan dengan segera sebelum nama disenarai hitam.
Tidak pasti, anda boleh lakukan semakan di sini.
SAMAN TIDAK SENARAI HITAM
Saman yang tidak disenarai hitam pula selalunya surat yang sampai ke rumah misalnya:
- Saman kelajuan atau AES
- Saman ekor
- Saman kesalahan parkir
KES BEZZA CERMIN GELAP
Bagaimana pula, saman cermin gelap JPJ?. Pengguna Facebook Irfan Zaki kecewa apabila tidak dapat memperbaharui cukai jalan dan insurans Perodua Bezza miliknya kerana terdapat saman tertunggak cermin gelap.
“Dugaan, roadtax dah siap bayar, dah siap tapi tak boleh ambil sebab ada saman JPJ tinted 100 peratus semua sia-sia habis beribu untuk roadtax dan servis. Tak boleh ambil kena setel JPJ dulu,” tulisnya dalam grup Bezza Owner Club Official.
Tambahnya, sedan itu jarang digunakan dan selama setahun lebih pemilikan hanya merekodkan odometer 10,400km.
Kesilapan pemilik Bezza berkenaan adalah tidak menghadiri perbicaraan mahkamah atas alasan sibuk bekerja dan tidak mendapat cuti. Seharusnya jika anda terlepas tarikh perbicaraan, pergi ke pejabat JPJ untuk mendapatkan tarikh baru.
Selain itu, dia juga tidak mematuhi notis arahan pemeriksaan dalam tempoh 10 hari daripada saman diterima. Sekiranya dia mematuhi semua prosedur di atas hanya perlu membayar saman RM100 sahaja.
Sekiranya anda berdepan kes sedemikian dan nama sudah disenarai hitam. Apa yang perlu dilakukan adalah mengunjungi pejabat JPJ Negeri atau cawangan bagi membuat pemeriksaan selepas menanggalkan cermin gelap tersebut.
Setelah itu barulah boleh menyelesaikan bayaran saman mengikut tempoh yang ditetapkan seperti di bawah:
- RM100 – Jika bayar dalam 1-15 hari
- RM150 – Jika bayar dalam 16-30 hari
- RM250 – Jika bayar 30-60 hari
Bagi kes pemuda tersebut dia perlu membayar sebanyak RM250. Diingatkan pemilik haruslah menanggalkan cermin gelap dahulu sebelum membayar saman.
Di bawah ini infografik cermin gelap yang dibenarkan oleh JPJ: