Pakai tudung dan sembunyi 20 jam, warga Rusia dedah taktik ceroboh Menara Merdeka 118

712

Warga Rusia, Angela Nikolau yang tular sebelum ini kerana menceroboh Menara Merdeka 118 mendedahkan modus operasi sehingga berjaya naik ke puncak bangunan kedua tertinggi di dunia itu.

Menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya @AngleaNikolau_ bercerita permulaan ingin menawan menara berkenaan.



“Saya jatuh cinta dengan Menara Merdeka 118 sebaik melihatnya. Saya berasa hubungan rohani secara langsung. 

“Sebuah bangunan yang begitu megah di tengah-tengah bandar yang menakjubkan – saya perlu meneroka dan berkongsi pandangan dengan orang lain,” tulisnya.

Dia turut memuatnaik gambar di puncak menara ketika menjayakan misinya. Jelasnya, bagi menjayakan misi itu dia menyewa sebuah pangsapuri berhampiran Merdeka 118.

“Saya boleh melihat bangunan itu dengan baik dan melakukan pengawasan. Saya menghabiskan beberapa minggu mencari butiran penting yang perlu sebelum pergi ke sana,” katanya. 

Pada hari ke-10 dia memulakan misi dengan melakukan penyamaran seperti warga lokal. Angela menggunakan tudung, cermin mata dan seragam pekerja bangunan.

“Saya lari ke tingkat 32 dan terlalu panas sehingga memaksa saya baring atas lantai konkrit tanpa berpakaian bagi menyejukkan badan sedikit dan minum semua air yang ada,” ciapnya.

Selain itu, dia juga berkongsi hampir ditangkap dan imejnya dikesan di kamera litar tertutup (CCTV). Namun, dia berjaya bersembunyi di dalam kotak konkrit kecil dan perlu menghabiskan masa 20 jam di situ.

Jelasnya, situasi tempat yang sempit membuatkan dia tidak dapat meregangkan kaki dan seluruh badan berasa sakit.

“Nak menangis tak boleh kerana bimbang pekerja bangunan dengar tangisan saya,” tulisnya. 

Dia menerusikan misi dan keluar ketika pekerja sedang berehat dan berlari ke puncak menara.

“Semangat saya semakin meningkat bila saya nampak pemandangan dari atas. Kini musim hujan jadi saya menjangkakan keadaan awan kelabu, tetapi sebaliknya saya lihat sinaran matahari dan keindahan pemandangan luar biasa,” jelasnya.

Perkongsian itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan netizen Malaysia seolah warga Rusia itu berlebihan dalam penceritaan. Ada yang mempersoalkan tentang keberadaan teman lelakinya di puncak menara selain kenyataan menghormati budaya dan keselamatan negara.

Namun, dia menggunakan tudung sebagai penyamaran dan menceroboh bangunan tersebut. Angela memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas tindakannya bagaimanapun dia turut menyembunyikan beberapa komen ‘pedas’ dari netizen Malaysia.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here