Awal Disember lalu, Toyota GR Corolla melakukan debut pertamanya di peringkat Asean di Thailand pada harga THB 3.95 juta (RM498,533). Bagaimanapun pasaran negara jiran itu hanya membawa masuk sembilan unit.
Sementara itu, pada majlis malam media UMW Toyota Motor, syarikat berkenaan mengesahkan bakal membawa masuk beberapa model GR ke pasaran tempatan tahun ini.
Hasil risikan Motoqar, dipercayai pengedar rasmi jenama Toyota di Malaysia itu bakal melancarkan Toyota GR Corolla pada Februari depan. Bagaimanapun, tarikh yang lebih tepat masih belum diketahui.
Adakah Malaysia bakal menjadi negara kedua Asia Tenggara menerima model prestasi tersebut?. Sama-sama kita nantikan.
Toyota GR Corolla dilengkapi enjin 1.6 liter 3-silinder yang menghasilkan output 300hp @ 6,500rpm dan tork 370Nm @ 3,000-5,550 rpm.
Kemudian ia dilengkapi dengan transmisi manual 6-kelajuan (i-MT) bersama tuil penukar jenis short-stroke serta sistem pacuan semua roda GR-Four.
Penghantaran kuasa roda depan ke belakang menggunakan klac multi plat membolehkan pemindahan nisbah kuasa 60:40, 30:70 atau 50:50 menerusi tiga mod pemanduan utama Normal, Sport dan Track.
Ciri peralatan lain yang ditawarkan antaranya lampu depan LED automatik, skrin infotainmen 7-inci bersama ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay, paparan instrumen digital 12.3-inci, pengecas telefon pintar tanpa wayar, tujuh-beg udara dan Toyota Safety Sense 3.0.