Honda Civic Type R FL5 dijual di Jepun pada September tahun lalu dan menerima lebih daripada 20,000 tempahan sehingga Disember.
Oleh kerana sambutan yang memberangsangkan, tempahan yang diterima pada bulan Oktober dikategorikan sebagai BO (back order). Jadi, pelanggan perlu menunggu hampir dua tahun atau lebih bagi penghantaran hot hatch berkenaan.
Disebabkan situasi sedemikian, beberapa wakil jualan Honda tidak menerima tempahan buat sementara waktu.
Selain itu, pihak pengilang mengeluarkan notis penutupan tempahan pada 19 Januari. Ini bermakna tempahan akhir yang boleh diterima adalah pada 18 Januari.
Honda dijangka bakal mengumumkan secara rasmi langkah untuk menghentikan sementara tempahan untuk Civic Type R berkenaan pada akhir bulan ini.
Setelah mengetahui tentang notis pembekuan tempahan tersebut, semakin ramai pelanggan menempah lebih daripada satu FL5 bagi kegunaan syarikat, bahkan ada yang mula menempah unit ketiga mereka.
Berdasarkan situasi berkenaan, pelanggan yang membeli hot hatch berkenaan pada akhir bulan lalu berkemungkinan perlu menunggu lebih daripada tiga tahun.
Pelanggan yang menempah pada bulan Januari, ini bermakna tarikh penghantaran adalah dalam tempoh fiskal 2025 (namun, jika bilangan pesanan meningkat dengan ketara, tarikh penghantaran mungkin ditangguhkan).
Kelewatan dalam penghantaran mungkin tidak akan melebihi jangkaan tersebut melainkan terdapat kekurangan alat ganti atau semikonduktor. Honda Civic Type R FL5 dipasang semula di Jepun iaitu di kemudahan Honda Yorii, Saitama.
Honda Civic Type R menggunakan enjin KC20C1 2.0 liter turbo yang menghasilkan kuasa 325hp dan tork 420Nm bersama transmisi 6-kelajuan manual yang dipertingkatkan.
Lebih panjang, lebih rendah dan lebih lebar, reka bentuk Type R baharu yang berotot lagi anggun serta sofistikated. Ia menampilkan aerodinamik yang canggih untuk daya tekanan ke bawah seimbang serta mampu mengurangkan seretan udara.
Reka bentuk bampar hadapan baharu yang lebih agresif menampilkan jeriji sarang lebah. Jeriji depan yang lebih besar dengan reka bentuk baharu di belakang roda hadapan untuk meningkatkan kecekapan aliran udara.