Sejak kebelakangan ini, bangunan pencakar langit baru Malaysia, Merdeka 118 menjadi tajuk berita utama kerana rasa ingin tahu warga asing tentang bangunan kedua tertinggi dunia itu.
Pada 28 Disember, Angela Nikolau, warganegara Rusia menggemparkan negara apabila berjaya menceroboh sehingga ke puncak Menara Merdeka 118 dan berkongsi imej dan video tersebut di media sosial.
Kemudian, tular pula video Youtuber Driftershoots memasuki menara berkenaan yang mana insiden tersebut berlaku pada 1 Mei tahun lalu. Bagaimanapun, kesemuanya sudah didakwa.
Tetapi seminggu selepas Angela berkongsi kisahnya, satu lagi video muncul di subreddit pada hari Selasa, 10 Januari yang menunjukkan seorang pelancong China menerbangkan dron di Kuala Lumpur sebelum berlanggar dengan Menara Merdeka 118.
Pemuda berkenaan pertama kali berkongsi video di saluran Bilibili iaitu Youtube versi China dengan tujuan ingin menunjukkan kepada dunia ketinggian Merdeka 118.
Menerusi video satu minit berkenaan boleh dilihat dron diterbangkan terus ke arah bangunan, manakala juruterbangnya berkata, “Permainan tamat.”
Sebaik sahaja dron itu hampir dengan Menara 118, pemuda tersebut panik dan menyedari terputus hubungan dengan dron miliknya. Boleh dilihat dia cuba berlari mendapatkan dronnya.
“Sudah berakhir, sudah berakhir. Saya tidak boleh menyambung ke dron saya,” jeritnya.
Dron dibenarkan digunakan di Malaysia menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM). Bagaimanapun, perlu diketahui untuk menerbangkan dron ada beberapa syarat perlu dipatuhi yang dikeluarkan oleh CAAM antaranya:
- Kebenaran diperlukan bagi dron dengan berat bermula daripada 20kg
- Ketinggian pendakian maksimum yang dibenarkan ialah 120 meter (400 kaki)
- Penerbangan dron ke kawasan yang ditetapkan (kawasan untuk tujuan kediaman, komersial, perindustrian dan rekreasi)
- Di Malaysia, penerbangan dron dibenarkan hanya dalam jarak visual
- Dalam 150 meter dari setiap kawasan yang ditetapkan, penerbangan dron
- Penerbangan dron ke atas orang ramai yang melebihi 1,000 orang di kawasan lapang
- Penerbangan dron dalam jarak 150 meter dari mana-mana perhimpunan luar lebih 1000 orang
- Penerbangan dron dalam jarak 50 meter dari mana-mana kapal, kenderaan atau struktur yang bukan di bawah kawalan juruterbang
- Penerbangan dron dihadkan kepada radius 50 meter di sekeliling setiap orang
- Semasa berlepas dan mendarat, dron terbang dalam jarak 30 meter dari setiap orang
- Semua operasi mesti dijalankan melebihi 9.26km (5 Batu Nautika) dari aerodrom atau lapangan terbang dan hanya di ruang udara Kelas G
Selain itu, jika didapati bersalah, pemilik peranti boleh didenda di bawah Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 yang membawa denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.