Dah setahun, tak perasan nombor plat ‘salah’

1690

Penjawat awam memberi alasan tidak perasan bahawa salah satu nombor pendaftaran motosikal miliknya bertukar dari nombor asal selama hampir satu tahun.

Lelaki berusia 27 tahun itu berkata, dia membuat nombor plat Yamaha NVX itu di sebuah kedai aksesori Februari tahun lalu.



“Saya memang tidak perasan kedua-dua (depan dan belakang) nombor plat berbeza pada nombor hujung. Patutnya angka hujung nombor pendaftaran motosikal ini adalah dua, namun diletakkan nombor tiga.

“Selepas menukar plat kenderaan, saya tidak pernah disaman atas kesalahan ini kerana tidak melalui pemeriksaan sekatan jalan raya (SJR).

“Memang saya akan berasa bersalah jika pemilik nombor pendaftaran ini disaman atas kesalahan yang saya lakukan,” katanya yang ditemui di lokasi Op Motosikal di Plaza Tol Sungai Besi, malam tadi.

Lelaki itu ditahan untuk pemeriksaan ketika melalui plaza tol berkenaan semasa dalam perjalanan dari tempat kerja untuk pulang ke Kajang.

Pemeriksaan dilakukan mendapati nombor pendaftaran motosikal itu berbeza dengan nombor casis kenderaan asal yang mana nombor pendaftaran berkenaan adalah milik sebuah motosikal Yamaha Lagenda.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur Mohd Zaki Ismail berkata, kebanyakan kes membabitkan nombor pendaftaran palsu yang dikendalikan pihaknya, didapati dengan jelas ia ditukar secara sengaja.

“Tindakan itu mungkin bertujuan bagi mengelirukan pihak berkuasa termasuk JPJ, polis dan lain-lain. Apa yang kita risau adalah perbuatan itu (memaparkan nombor pendaftaran kenderaan palsu) untuk melakukan kegiatan jenayah.

“Malah, perbuatan itu akan menyebabkan pemilik kenderaan bagi nombor pendaftaran kenderaan asal terkena tempias dan terpaksa menanggung kesalahan dilakukan individu tidak bertanggungjawab berkenaan,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here