Lelaki ditemukan tidak bernyawa dalam sebuah kereta oleh rakannya di Garden Homes, Seremban 2, malam tadi.
Dalam kejadian pada 7.30 malam itu, rakannya secara kebetulan ternampak kereta lelaki berusia 43 tahun itu di tempat parkir sebelum melihat ke dalam Proton Wira berkenaan dan mendapati mayat mangsa sudah membengkak.
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, pengadu yang juga rakan mangsa memaklumkan melihat kereta itu berada di depan sebuah pasar raya dalam keadaan enjin kereta masih hidup.
Menurutnya, lelaki itu kemudiannya melihat ke dalam kereta itu dan mendapati mangsa berada di tempat penduduk pemandu dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Katanya, muka mangsa juga dilaporkan sudah membengkak serta terdapat cairan terkeluar dari hidung dan mulutnya.
“Dia cuba membuka pintu kereta namun berkunci serta mengetuk cermin kereta tetapi mangsa tidak memberi tindak balas sebelum menghubungi MERS 999 untuk meminta bantuan,” katanya.
Nanda berkata, pihaknya sudah mengenal pasti identiti lelaki itu dan siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dikesan di lokasi kejadian.
Menurutnya, pihak bomba yang ke lokasi cuba membuka pintu pemandu dengan mengumpilnya.
“Pembantu kesihatan membuat pemeriksaan ke atas lelaki itu mendapatinya sudah meninggal dunia lebih kurang dua ke tiga hari sebelum ditemukan.
“Hasil pemeriksaan lanjut, barang peribadi si mati berada di dalam laci papan pemuka kenderaan, manakala telefon bimbitnya berada di tempat duduk penumpang hadapan selain tiada kesan pecah pada cermin kereta,” katanya.